Motosikal

CEROBOH HUTAN SIMPAN, 13 GENG MOTOCROSS DITAHAN. MOTOSIKAL DISITA

Hasrat sekumpulan penunggang motosikal motocross yang menceroboh Hutan Simpan Tembat, Kuala Berang, dipercayai untuk menjalankan aktiviti sukan lasak terbantut apabila  kehadiran mereka berjaya dihidu penguat kuasa Jabatan Perhutanan Terengganu pada Khamis.

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, kehadiran 13 lelaki tempatan yang berusia antara 32 hingga 49 tahun menceroboh hutan simpan dengan menunggang motosikal lasak pelbagai model itu di tahan kira- kira jam 1 petang. Semua motosikal itu turut disita untuk tindakan lanjut.

Pemeriksaan lanjut mendapati kumpulan berkenaan bertindak menceroboh hutan simpan ini tanpa kebenaran daripada Jabatan Perhutanan.

“Kami ingin mengingatkan bahawa hutan simpan kekal merupakan hutan tertutup yang tidak boleh sewenang-wenangnya diceroboh bagi apa-apa tujuan sekalipun, melainkan jika mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa negeri.

“Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 47 (1) (c) Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986 Negeri Terengganu,” katanya.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Roslan berkata, pihaknya dengan kerjasama agensi berkaitan menjalankan operasi pemantauan bersepadu secara berterusan bagi mencegah aktiviti pencerobohan hutan di negeri itu. – Sinar Harian 

Google ads
Back to top button