Buletin

JPJ BUAT OPERASI KHAS HARI RAYA AIDILADHA 2022. TUMPU 9 KESALAHAN UTAMA

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan Op Khas Hari Raya Aidiladha 2022 bermula 7 dan 8 Julai serta 12 dan 13 Julai bagi memantau situasi keselamatan sempena musim perayaan ini.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Perancangan dan Operasi) Aedy Fadly Ramli berkata, pelaksanaan operasi itu bagi mengesan, memantau dan mengambil tindakan terhadap kenderaan awam termasuk pemandu yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

“Pada masa sama, kita juga mahu memastikan sembilan kesalahan utama yang menjadi punca kemalangan dan kematian dipatuhi sepenuhnya oleh pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal dan pemandu kenderaan persendirian.

“Selain itu, kita mahu memastikan keselamatan perjalanan pengguna jalan raya ke arah kelancaran trafik bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di musim perayaan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mengetuai Op Khas Hari Raya Aidiladha 2022 di Plaza Tol Sungai Besi, semalam.

Aedy berkata, pihaknya memfokuskan kepada tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap sembilan kesalahan utama termasuk memandu melebihi had laju dan tidak mematuhi isyarat lalu lintas.

“Selain itu, kami turut menumpukan kesalahan memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, membawa lebih muatan dan muatan bahaya.

“Kami juga akan mengambil tindakan sita terhadap penunggang atau pemandu yang tidak mempunyai lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh,” katanya. 

Sebanyak 1,317 kenderaan yang diperiksa dalam operasi yang bermula jam 7 hingga 11 malam tadi. Hasil pemeriksaan dilakukan sebanyak 441 kesalahan dikesan termasuk 14 kenderaan disita membabitkan sembilan motosikal serta lima kereta.

Dalam operasi itu yang turut membabitkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu, pihaknya telah memeriksa seramai 23 pemandu warga asing, namun tiada tangkapan dibuat.

Hasil pemeriksaan terhadap 14 individu oleh pihak AADK, seorang lelaki yang juga penunggang motosikal berusia 30-an ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan raya dan tidak melakukan kesalahan supaya selamat tiba di destinasi. – Harian Metro

Google ads
Back to top button