Buletin

JPJePLATE DILANCARKAN, MEMACU KESELAMATAN DAN DIGITALISASI KENDERAAN ZEV DI MALAYSIA

Hari ini, Kementerian Pengangkutan Malaysia bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melancarkan inisiatif JPJePlate, sebuah sistem plat kenderaan khas untuk kenderaan ZEV (Zero Emission Vehicle) yang baru.

Ia adalah strategi dua dalam satu yang bertujuan menggalakkan penggunaan kenderaan mesra alam selain, meningkatkan pendigitalan sektor pengangkutan.

Projek ini dimulakan pada Oktober 2023 melalui proses Request for Proposal (RFP) dan hasilnya, dalam masa kurang setahun, Kementerian Pengangkutan serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama vendor terpilih, Handal Ceria Sdn Bhd, berjaya melaksanakan sistem JPJePlate.

Manfaat Utama JPJePlate

JPJePlate membawa beberapa ciri inovatif yang meningkatkan keselamatan dan efisiensi jalan raya, antaranya:

  • Keterlihatan Ditingkatkan: Ciri retro-reflektif pada plat nombor ini memudahkan pengenalan pada waktu malam, mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
  • Ciri Keselamatan: Dilengkapi dengan hologram anti-kloning, JPJePlate meminimakan risiko kecurian dan penipuan. Ia juga membantu pengenalpastian kenderaan elektrik untuk mengaplikasikan protokol keselamatan sewaktu kecemasan.
  • Teknologi Pintar dan Penguatkuasaan: Dengan integrasi RFID melalui Sistem Pengangkutan Pintar (ITS), JPJePlate menyokong sistem pengangkutan yang lebih terhubung dan efisien, mempercepat penguatkuasaan lalu lintas secara automatik.

Meningkatkan Pendigitalan dan Kenderaan Hijau

Inisiatif ini merupakan satu langkah penting dalam usaha Kerajaan untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan ZEV.

Pada masa yang sama, ia adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk memperluas penggunaan teknologi digital dalam sektor pengangkutan, sekaligus mempertingkat keselamatan jalan raya.

Bermula hari ini, syarikat pengeluar dan pengedar kenderaan boleh menempah JPJePlate bagi pihak pelanggan yang telah membeli kenderaan ZEV baharu.

Plat ini tidak diwajibkan untuk kenderaan ZEV sedia ada, tetapi pemilik yang berminat boleh mula membuat tempahan bermula November.

Harga dan Penempahan

Satu set JPJePlate yang merangkumi plat hadapan, belakang, pelekat cermin RFID, serta penghantaran standard, boleh didapatkan pada harga RM98.

Tempahan boleh dilakukan melalui laman sesawang rasmi di jpjeplate.jpj.gov.my.

Google ads
Back to top button