Buletin

JPN TAXI – TEKSI JEPUN BUATAN TOYOTA, TRADISI SEJAK TAHUN 1936

Selepas mengumumkan untuk memasarkan bas dengan teknologi fuel-cell (hidrogen dan elektrik), Toyota Motor Corporation pada hari ini melancarkan model baharu untuk pengangkutan awam yang dikenali sebagai JPN Taxi. 

Jika di UK terkenal dengan black cab atau teksi London, di Jepun mereka ada JPN Taxi. Kenderaan Toyota digunakan sebagai teksi bukanlah suatu yang asing.

Ia begitu sinonim sehingga menjadi objek perbandingan di negara ASEAN di mana Indonesia banyak menggunakan Vios sebagai teksi manakala di negara kita pula memiliki Vios dianggap sebagai suatu yang membanggakan.

Sebelum Vios digunakan sebagai teksi, model lain seperti Toyota Crown turut digunakan sebagai pengangkutan awam di beberapa negeri dan juga di Singapura.

Toyota sebenarnya sudah lama terlibat dalam industri teksi iaitu seawal tahun 1936 lagi di Jepun. Model pertama yang diperkenalkan ialah Toyota Model AA.

Pada tahun 1953, Toyota memperkenalkan Toyopet Super RH dan seterusnya pelbagai lagi model lain yang telah membantu dalam industri pengangkutan awam.

Satu perkara tentang teksi buatan Toyota ialah ketahanan dalam tempoh lama berbanding kenderaan lain termasuk mampu digunakan dalam keadaan jalan raya paling lasak sekali pun.

Melalui JPN Taxi, Toyota sekali lagu mahu mencipta legasi. Model yang dibina khusus untuk dijadikan teksi ini membawa semangat hospitaliti Jepun. Toyota mempunyai wawasan besar melalui model ini. Ia lebih dari sekadar pengangkutan awam.

JPN Taxi telah dibangunkan untuk memberikan kebolehgunaan dan keselesaan kepada pelbagai kategori pengguna seperti kanak-kanak, warga tua, pengguna kerusi roda, dan pelawat atau pelancong dari luar negara ke Jepun. Wawasan Toyota sampai hendak menjadikan JPN Taxi sebagai ikon Jepun.

Toyota mahu mengubah persekitaran Jepun dengan membangunkan bandar tanpa halangan. Toyota  mahu menjadikan Jepun sebagai negara berorientasikan pelancongan dengan mempromosikan penggunaan JPN Taxi secara meluas.

Senario Ini adalah seperti kota besar dunia lain seperti London yang popular dengan teksi hitam (black cab) dan telah menjadi ikon bandar terkenal itu.

Sebagai sebuah produk Toyota, ia tampil dengan reka bentuk universal yang mesra pengguna dalam memberikan kebolehgunaan dan keselesaan melalui inovasi dan penambahbaikan berterusan. 

Ciri-ciri reka bentuk ialah lantai rendah dan rata yang  memudahkan pelanggan masuk dan keluar dari teksi, bukaan pintu luas, pintu gelangsar belakang berkuasa (sebelah kiri sahaja) dan ruang untuk menampung pengguna kerusi roda.

Toyota juga pandai dengan mereka teksi ini untuk saling melengkapi dengan persekitaran bandar raya selain reka bentuk unik sebagai sebuah teksi ala teksi London. Ia tampil dengan gayaan klasik dan tak lekang masa dan menariknya menggunakan warna indigo yang merupakan warna tradisional dan merupakan simbol negara Jepun.

JPN Taxi menggunakan sistem hibrid gas petroleum cecair (LPG) yang baru dibangunkan dengan penggunaan bahan api 19.4 km/l. Kelengkapan keselamatan juga canggih seperti pakej keselamatan Toyota Sense C dan enam beg udara SRS sebagai ciri standard.

Sama seperti bas fuel cell Sora, Toyota merancang untuk menggunakan teksi ini untuk menyambut pelawat dari seluruh dunia pada tahun 2020 sempena Tokyo menjadi tuan rumah Olimpik dan Sukan Paralimpik.

BACA: TEKSI LONDON TERUS MAJU KE DEPAN – PEMILIKNYA ADA KAITAN DENGAN PROTON

BACA: KISAH TEKSI DI BUMI TEMASEK

Google ads
Back to top button