Buletin

PORSCHE 911 CARRERA T – TRANSMISI MANUAL, 370 HP DAN 450 NM

Kereta sport sekarang ini memang canggih. Laju, jimat minyak, teknologi cengkaman dan keselamatan canggih, transmisi klac berkembar, kawalan pelancaran (launch control) dan sistem padanan kelajuan (rev match).

Tetapi itulah bila dah canggih dan semuanya dikawal oleh sistem elektronik bila masa pemandu dapat mengawal kereta mengikut kemahiran sendiri?

Dan dicelah-celah lautan teknologi syukurlah terdapat beberapa lagi pengeluar yang berpegang kuat kepada prinsip mekanikal dan ringkas seperti Lotus.

Bagaimana pula tentang pengeluar kereta sport arus perdana seperti Porsche yang sekarang ini sudah selesa dengan jualan tinggi SUV seperti Cayenne dan Macan?

Porsche tidak melupakan asal-usul dan model terbaru 911 Carrera T ini sebagai peringatan tentang siapa mereka dahulu.

Porsche 911 Carrera T dibangunkan bagi menghidupkan semula konsep purist di sebalik model klasik 911 T tahun 1968.

Model ini kurang berat, nisbah penghantaran yang lebih pendek dari transmisi manual dan pemanduan roda belakang dengan mechanical rear differential lock untuk prestasi dan keseronokan pemanduan sejati.

Penampilan unik model baharu ini berdasarkan model 911 Carrera dengan huruf T di sebalik 911 Carrera T bermaksud Touring. 

Ia menawarkan beberapa ciri peralatan standard yang tidak terdapat pada model 911 Carrera seperti casis sport PASM, badan yang direndahkan sebanyak 20 mm dan pakej Sport Chrono dengan berat yang dioptimumkan. Rear-axle steering yang tidak ada pada 911 Carrera, ditawarkan sebagai pilihan untuk 911 Carrera T.

Setiap aspek peralatan di 911 Carrera T direka untuk mengoptimumkan prestasi dengan perkakasan ringan. Tingkap belakang dan tingkap sisi belakang model ini dibuat dari kaca ringan. Bahan kedapan bunyi juga turut dikurangkan.

Kerusi belakang telah ditanggalkan bersama sistem Pengurusan Komunikasi Porsche (PCM) dan ia sebenarnya masih boleh dipasangkan mengikut permintaan pembeli tanpa sebarang kos tambahan.

Hasil daripada langkah ini, 911 Carrera T kini seberat 1,425 kilogram iaitu 20 kilogram lebih ringan berbanding 911. 

Porsche 911 Carrera T dibekalkan enjin enam silinder 3.0 liter dengan pengecas turbo berkembar menghasilkan 370 hp dan tork maksimum 450 Nm di antara 1,750 rpm dan 5,000 rpm. 

Model ini mampu memecut dari sifar hingga 100 km/j dalam 4.5 saat iaitu 0.1 saat lebih cepat daripada 911 Carrera Coupé. Pecutan ke 200 km/j dapat dicapai dalam 15.1 saat.

Nisbah berat kepada kuasa model ini telah ditingkatkan kepada 3.85 kg / hp untuk dinamik pemanduan yang lebih tangkas.  Selain transmisi manual, Porsche Doppelkupplung (PDK) juga boleh didapati sebagai pilihan untuk model ini.

Tidak dinafikan transmisi PDK itu memang pantas melakukan kerjanya dan ini boleh dilihat pada capaian 100 km/j dalam 4.2 saat, dan 200 km / j dalam 14.5 saat. Prestasi seperti ini yang sukar untuk ditandingi transmisi manual dan menjadi salah satu punca kenapa ia digemari oleh pengeluar kereta sport dan umum.

Walaupun mempunyai daya pecutan berbeza kedua-dua varian manual dan PDK mempunyai kelajuan sama iaitu melebihi 290 km/j.

Porsche 911 Carrera T ditawarkan bermula Januari 2018 dan di Jerman model ini dijual pada harga EUR 107,553 atau RM 536,114.

BACA: PORSCHE 993 TURBO YANG PERNAH DIMILIKI SULTAN BRUNEI HENDAK DIJUAL!

BACA: GELARAN SUPERCAR PALING LAJU KINI MILIK PORSCHE 911 GT2 RS

Google ads
Back to top button