
“KALAU NAK IKUT SELERA, TOYOTA CUMA JUAL GR COROLLA DAN GR YARIS” – AKIO TOYODA
Jika kebanyakan tokoh korporat automotif lebih selesa di balik meja mesyuarat, Akio Toyoda jelas berbeza.
Di bawah nama samaran “Morizo”, beliau turun sendiri ke litar sejak menyertai perlumbaan 24 Jam Nürburgring bersama Toyota Gazoo Racing pada 2007.
Walaupun kini berusia 69 tahun, bekas presiden dan CEO Toyota Motor Corporation itu masih aktif memandu dan menguji jentera berprestasi tinggi.
Ketika menghadiri sesi pandu uji di Fuji Speedway, Toyoda berkongsi pandangan peribadi yang cukup menarik dengan seorang jurutera muda yang bakal menyertai Toyota.

Apabila ditanya apakah definisi kereta yang baik pada pandangan syarikat, beliau secara berseloroh namun jujur mengakui: jika diberi kebebasan sepenuhnya, barisan model Toyota mungkin hanya terdiri daripada hot hatch.
“Kalau ikut selera saya, semuanya akan jadi GR Corolla dan GR Yaris,” katanya, merujuk kepada Toyota GR Corolla dan Toyota GR Yaris, dua model kompak berprestasi yang menjadi ikon baharu peminat pemanduan tulen.
Walaupun tidak menyebut model lain secara khusus, sukar untuk tidak membayangkan barisan impiannya turut merangkumi Toyota GR86, Toyota GR Supra dan mungkin model GT generasi baharu.
Kini, Gazoo Racing sudah beroperasi sebagai sub-jenama prestasi yang lebih tersusun, menandakan kesungguhan Toyota untuk mengekalkan DNA sukan dalam portfolio masa depannya.

Malah, terdapat desas-desus mengenai kebangkitan semula Toyota Celica, dengan laporan menyebut beberapa pengedar di Amerika Syarikat telah melihat prototaip secara tertutup. Jika benar, ia bakal menghidupkan semula satu lagi nama legenda dalam sejarah Toyota.
Dalam pertemuan sama, jurutera muda itu turut menyuarakan impiannya untuk membangunkan hypercar baharu seumpama Lexus LFA yang pernah menggegarkan dunia dengan enjin V10 dan bunyi yang memukau. Toyoda tidak mematahkan semangat tersebut, malah memberi galakan agar visi berani itu diteruskan.
“Bila sudah buat keputusan, jangan mudah mengalah. Cari rakan seperjuangan yang sehaluan, dan kamu boleh hasilkan kereta itu. Di Toyota, ada ruang untuk kebebasan itu,” ujarnya.
Walaupun nama LFA bakal kembali, pendekatannya berbeza. Lexus kini sedang membangunkan supercar elektrik sepenuhnya yang pernah dipratonton menerusi konsep Electrified Sport.
Tarikh pelancarannya masih belum diumumkan, namun projek itu mengesahkan bahawa era prestasi elektrik juga sedang dirintis.
Toyota sendiri turut memberi bayangan ke arah itu melalui konsep Toyota FT-Se, sebuah jentera elektrik berkonfigurasi enjin tengah yang dikatakan berpotensi ke produksi sebelum dekad ini berakhir.
Namun bagi Toyoda, jiwa sebuah kereta sport masih terikat pada aroma petrol dan deruman enjin pembakaran dalaman.
Dalam satu wawancara terdahulu, beliau secara terbuka menyatakan bahawa bagi dirinya sebagai “master driver”, kereta sport sejati ialah yang berbau minyak dan berbunyi garang.
Kenyataan itu mungkin kedengaran nostalgik, tetapi ia mencerminkan dilema industri hari ini, di antara emosi mekanikal dan realiti elektrifikasi.
Jika diberi pilihan oleh Toyoda, dunia Toyota mungkin dipenuhi hatchback kecil yang liar, bising dan penuh karakter.








