Buletin

JUALAN KERETA INDONESIA MENINGKAT PADA MEI 2024 – TOYOTA, CHERY JADI PILIHAN SEJUTA UMAT

Pasaran kereta Indonesia menunjukkan peningkatan pada Mei 2024 selepas mengalami kemerosotan dalam empat bulan pertama tahun ini.

Menurut laporan bulanan Persatuan Industri Automotif Indonesia (Gaikindo), jualan kereta pada Mei melonjak sebanyak 46.5 peratus berbanding bulan sebelumnya, April.

Jumlah unit yang dijual secara borong (dari kilang kepada pengedar) mencapai 71,263 unit, hampir dua kali ganda daripada 48,637 unit pada April.

Dalam jualan runcit (dari pengedar kepada pengguna), sebanyak 72,137 unit kereta berjaya dijual pada Mei, meningkat 22.7 peratus berbanding April yang mencatatkan jualan sebanyak 58,779 unit.

Namun begitu, jualan tahun ini masih rendah jika dibandingkan dengan tahun lalu. Pada Mei 2023, sebanyak 82,189 unit kereta terjual secara borong, menunjukkan penurunan 13.3 peratus pada tahun ini.

Sepanjang lima bulan pertama 2024, jualan kereta secara borong mencatatkan 334,969 unit, menurun sebanyak 21 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Jualan runcit juga mengalami penurunan sekitar 14.4 peratus dengan hanya 361,698 unit terjual berbanding 422,514 unit pada tahun sebelumnya.

Toyota terus mendominasi pasaran kereta Indonesia dengan menjual 23,482 unit pada Mei 2024. Di tempat kedua adalah Daihatsu dengan 14,983 unit, manakala Honda berada di tempat ketiga dengan 7,294 unit.

Menurut Pengarah Pemasaran PT Toyota Astra Motor (TAM), Anton Jimmi Suwandy, model Avanza serta Innova mencatatkan pertumbuhan terbesar pada Mei, masing-masing menyumbang sekitar 5,800 unit dan 5,000 unit daripada jumlah jualan Toyota.

Keadaan lebih mencabar bagi Wuling, yang tidak lagi tersenarai dalam 10 jenama terlaris di Indonesia.

Pada Mei, Wuling hanya menjual 909 unit kereta, manakala Chery menjual 968 unit berkat populariti SUV elektrik Omoda E5.

Hyundai juga menunjukkan prestasi negatif, dengan jualan menurun daripada 1,485 unit pada April kepada 1,408 unit pada Mei.

Secara keseluruhan, walaupun terdapat peningkatan pada Mei, pasaran kereta Indonesia masih menghadapi cabaran besar untuk mencapai paras jualan tahun lalu.

Google ads
"
"
Back to top button