Buletin

KALAU MACAM INI, LEBIH BAIK DENGAN GHOSN!

Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Makoto Uchida menegaskan bahawa dia sedia dipecat sekiranya gagal untuk mengembalikan kegemilangan pengeluar kedua terbesar Jepun itu selepas skandal bekas pengerusinya, Carlos Ghosn terbongkar.

Dalam satu mesyuarat, Uchida yang menduduki kerusi panas itu pada Disember lalu kini terpaksa berdepan dengan para pemegang saham yang marah dan tidak berpuas hati dengan prestasi kewangan syarikat.

Mereka memberikan beberapa cadangan seperti memotong bayaran eksekutif dan menawarkan ganjaran untuk membawa balik Ghosn ke Jepun selepas dia lari ke Lubnan.

Prestasi Nissan yang semakin buruk nyata meningkatkan lagi tekanan ke atas bekas ketua Nissan di China berusia 53 tahun itu. Uchida yang menjadi CEO ketiga sejak September 2019 perlu tampil dengan langkah agresif untuk memastikan Nissan kembali mencatat keuntungan.

Kelmarin, Uchida dihentam teruk oleh para pemegang saham. Apatah lagi selepas Nissan mencatat keuntungan operasi tahunan paling teruk dalam tempoh 11 tahun.

“Kami akan pastikan yang bawa syarikat ini ke arah lebih baik dan boleh dinilai oleh semua. Saya komited, jika ada masih ragu-ragu, anda boleh pecat saya pada bila-bila masa,” kata Uchida.

Dia bagaimanapun tidak memberi sebarang jangka masa untuk menambah baik prestasi Nissan.

Uchida perlu membuktikan kepada lembaga pengarah yang dia mampu mempercepatkan usaha pengurangan kos dan menjadikannya syarikat berusia 86 tahun itu kembali untung. Dia juga ada strategi yang betul untuk memperbaiki hubungan dengan Renault.  

Dia meminta semua agar bersabar kerana mahu membuat satu pelan khusus menjelang Mei untuk memperbaiki prestasi syarikat. Nissan berada dalam tidak menentu selepas Ghosn ditahan di Jepun pada 2018 atas dakwaan melakukan jenayah kewangan.

“Jika anda boleh bersabar sedikit, anda akan boleh melihat perubahan,” katanya.

Pemegang saham yang marah mempersoalkan keupayaan Uchida dan eksekutif lain untuk memulihkan Nissan. Mereka juga menggesa isu-isu seperti perletakan jawatan bekas CEO, Hiroto Saikawa, ketelusan siasatan syarikat ke atas Ghosn dan kewajaran menggunakan kenderaan Toyota untuk membawa ahli lembaga pengarah dijelaskan.

“Saya hanya mahu tahu apakah pelan pemulihan yang ingin dilaksanakan. Sekarang, harga saham jatuh lagi dan nilai syarikat terus merudum,” kata seorang bekas pekerja yang memiliki saham Nissan.

“Kalau beginilah keadaannya, saya fikir lebih baik dengan Ghosn. Jika kami tidak dapat jawapan yang jelas tentang apakah pelan syarikat, situasi ini sangat membimbangkan.” – Reuters

Google ads
Back to top button