Buletin

SAHAM JATUH, NILAI NISSAN KINI LEBIH RENDAH BERBANDING SUBARU

Nissan menyaksikan pasaran modalnya kini semakin rendah berbanding pengeluar kereta Jepun yang lain seperti Subaru.

Situasi itu berlaku selepas nilai sahamnya jatuh sebanyak 9.6 peratus, paling rendah dalam tempoh satu dekad.

Nilai saham Nissan terus menjunam selepas ia mengumumkan akan mengurangkan sasaran penuh tahunan dan tidak memberi dividen akhir tahun.

Langkah tersebut membuatkan Nissan mempunyai modal pasaran berjumlah 2.17 trilion yen (RM8.98 bilion). Bloomberg sebelum ini ada melaporkan bahawa Nissan jatuh ke tangga kelima berdasarkan kepada nilai pasaran, berada di belakang  Subaru, Suzuki, Honda dan Toyota.

Sejak awal tahun ini, harga saham Nissan jatuh 19 peratus, selepas jatuh 28 peratus pada tahun 2019 dan 22 peratus sepanjang tahun 2018.

Nissan yang berdepan kemerosotan jualan di pasaran-pasaran utama seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah, selain masalah penahanan bekas pengerusinya, Carlos Ghosn telah mengurangkan jangkaan keuntungan operasi kepada 85 bilion (RM320 juta), turun daripada jangkaan awal iaitu 150 billion yen (RM565 juta).

Renault yang memiliki 43 peratus saham dalam Nissan dan bergantung kepada dividen daripadanya juga melaporkan kerugian pada tahun 2019, tetapi harga sahamnya tidak berubah.

Langkah memotong pembayaran dividen ke tahap paling rendah sejak tahun 2009 dan mahu membuang 12,500 kakitangan di seluruh dunia dibuat kerana Nissan mahu mempunyai dana untuk dilaburkan ke dalam teknologi-teknologi baharu.

Ia penting bagi memastikan Nissan kekal kompetitif dalam pasaran EV dan pemanduan autonomi.

“Malangnya, prestasi peniagaan kami lebih teruk daripada yang dijangka. Jadi, kami mesti melabur untuk masa depan. Sebab itulah kami melaksanakan semua langkah ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Makoto Uchida.

Google ads
Back to top button