Artikel Pilihan

KENAPA KERETA CHINA JUAL MURAH TAPI SPEC PADU?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kebangkitan jenama automotif China benar-benar mengubah landskap pasaran global, termasuk di Malaysia. Model daripada pengeluar seperti BYD, Chery,GWM, Jetour, MG, Xpeng, Zeekr, Geely dan SAIC Motor hadir dengan tawaran yang sukar diabaikan.

Pada harga yang setara dengan model segmen B atau C daripada Jepun, pembeli sudah boleh menikmati ciri seperti sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS), kamera 360 darjah, bumbung panoramik, skrin infotainmen bersaiz besar, kusyen dengan ciri pengudaraan dan pelbagai kemudahan yang suatu ketika dahulu hanya ditawarkan pada kenderaan segmen lebih tinggi.

Keadaan ini secara tidak langsung menimbulkan persoalan, bagaimana pengeluar China mampu menawarkan begitu banyak ciri premium pada harga yang lebih rendah berbanding jenama Jepun seperti Toyota, Honda dan Nissan?

1. Salah satu faktor utama ialah keupayaan rantaian bekalan atau supply chain di China. Negara tersebut telah membina ekosistem industri automotif yang sangat menyeluruh dan bersepadu. Banyak pengeluar China mengamalkan integrasi menegak, iaitu menghasilkan sendiri komponen penting seperti bateri, motor elektrik, modul elektronik dan perisian dalaman.

Sebagai contoh, BYD bukan sahaja menghasilkan kenderaan, malah turut membangunkan bateri dan sistem pemacu elektriknya sendiri. Apabila komponen kritikal dapat dikawal secara dalaman, kos dapat dikurangkan kerana tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada pembekal luar yang turut mengambil margin keuntungan.

Tambahan pula, kebanyakan vendor dan pembekal komponen berada kawasan industri yang berdekatan, sekali gus menjadikan logistik lebih cekap dan kos pengeluaran lebih rendah.

2. Selain itu, skala pengeluaran domestik China yang sangat besar memainkan peranan penting. Pasaran tempatan mereka sendiri sudah cukup luas untuk menyokong jumlah pengeluaran yang tinggi. Apabila jumlah unit yang dihasilkan meningkat, kos purata bagi setiap unit akan menurun.

Kelebihan skala ekonomi besar ini yang membolehkan ciri-ciri seperti paparan digital besar, sistem kamera menyeluruh dan teknologi bantuan pemandu dipasang tanpa memberi kesan besar kepada harga jualan akhir. Dalam konteks ini, kemampuan menawarkan spesifikasi tinggi bukan sekadar strategi pemasaran, tetapi hasil struktur kos yang berbeza.

3. Strategi perniagaan juga memainkan peranan besar. Banyak jenama China kini berada dalam fasa pengembangan agresif dan berusaha menembusi pasaran global dengan cepat. Dalam erti kata lain, mereka mengejar penguasaan pasaran terlebih dahulu, walaupun margin keuntungan mungkin lebih nipis atau rugi dalam jangka masa pendek.

Berbanding dengan jenama Jepun yang sama-sama membangun dengan vendor mereka, jenama China tidak kisah menghukum pembekal yang gagal memenuhi harga belian yang ditetapkan oleh mereka. Ada banyak lagi pembekal lain yang sanggup menjual komponen pada harga murah.

4. Tambahan pula, banyak pengeluar China membangunkan platform kenderaan elektrik yang direka khas dari awal, bukannya mengadaptasi platform enjin pembakaran dalaman sedia ada. Pendekatan ini membolehkan susun atur komponen menjadi lebih efisien dan mengurangkan kos pembangunan jangka panjang.

Apabila struktur casis, bateri dan sistem elektrik dirancang sebagai satu ekosistem sejak peringkat awal, proses pengeluaran menjadi lebih tersusun dan kos dapat dioptimumkan. Ini berbeza dengan sesetengah pengeluar tradisional yang masih dalam proses peralihan dan perlu menanggung kos pembangunan berlapis bagi menyesuaikan teknologi baharu dengan platform lama.

5. Dalam masa yang sama, perlu difahami bahawa falsafah pengeluar Jepun tidak semestinya sama. Jenama seperti Toyota dan Honda secara tradisinya lebih menekankan kebolehpercayaan jangka panjang, ketahanan mekanikal dan kestabilan keuntungan. Mereka cenderung memperkenalkan teknologi secara berperingkat dan berhati-hati bagi memastikan tahap kualiti yang konsisten.

Pendekatan ini menyebabkan model mereka kadangkala kelihatan kurang menonjol dari segi spesifikasi atas kertas, namun mempunyai reputasi kukuh dari sudut ketahanan dan nilai jual semula.

Kemampuan jenama China menawarkan ciri premium pada harga yang lebih rendah bukanlah disebabkan satu faktor tunggal. Ia merupakan gabungan rantaian bekalan yang matang, integrasi menegak, ekonomi skala, pembangunan platform khusus serta strategi agresif untuk merebut pasaran.

Pada masa yang sama, tekanan persaingan domestik juga mendorong mereka mengekalkan harga yang kompetitif. Apa yang jelas, persaingan ini memberi manfaat kepada pengguna kerana pilihan semakin luas dan teknologi menjadi lebih mampu milik.

Persoalan yang tinggal hanyalah bagaimana jenama-jenama ini akan membuktikan ketahanan jangka panjang dan mengekalkan kepercayaan pasaran dalam tempoh sedekad akan datang.

Google ads
Back to top button