Buletin

KAMI DI JEPUN DAN DAPAT CUBA TOYOTA RAV4 BAHARU!

Krew mekanika sekarang berada di Jepun bersama sebahagian besar media automotif untuk membuat liputan pameran Tokyo Motorshow yang akan bermula hari ini.

Namun seperti biasa, sebelum acara motorshow, ada beberapa aktiviti disediakan kepada media dan semalam kami berpeluang mellihat beberapa rangkaian inovasi dan produk baru dari Toyota.

Antaranya ialah Alphard e-four hybrid, Corolla hatchback hybrid dan juga yang ini, Toyota Rav4 hybrid.

Tapi kenapa semuanya hybrid?

Di Jepun (dan kebanyakan negara maju di dunia) kereta-kereta bersih adalah “kunci” kepada polisi automotif negara. Pengeluar terpaksa mendahulukan produk begini untuk memastikan mereka mampu berdayasaing, apatah lagi untuk syarikat sebesar Toyota di tanah airnya sendiri.

Menarik ke Rav4 baru ni?

Apa yang mengejutkan tentang RAV4 baharu ialah rekabentuknya yang langsung tidak mengikut rentak urban CR-V, X-Trail dan CX-5.

RAV4 baharu hadir dengan imej tersendiri yang rugged seterusnya mengimbau kembali falsafah utilitarian yang turut dibawa oleh CR-V dan X-Trail satu ketika dahulu.

Bukan sahaja rugged tetapi juga dengan gayaan terkini Toyota yang agresif seperti C-HR baharu. Di Jepun, RAV4 didatangkan dengan dua pilihan enjin 2,500 cc VVT-iE sama seperti Camry baharu dan dipadankan bersama transmisi lapan kelajuan direct shift automatik.

Satu lagi pilihan enjin ialah 2,500 cc Toyota Hybrid System II dengan transmisi elektronik CVT.

Sebenarnya penawaran RAV4 ini penting sebab bukan sahaja hendak bersaing merebut angka jualan tetapi juga sebagai persediaan kerana selera pengguna hari ini sudah jelas beralih dari kereta penumpang kepada SUV.

Sebabnya sekarang ini kalau kita tengok di Malaysia pun memang semakin kurang kereta segmen D dengan plat pendaftaran baharu di atas jalan raya. Tidak kira sama ada Accord, Camry mahu pun Teana.

Rasa macam kereta penumpang premium seperti Mercedes-Benz C-Class dan BMW 3 series lebih banyak di atas jalan raya.

Adakah model ini akan masuk Malaysia?

Kami cuba merisik-risik daripada beberapa info. Belum ada jawapan yang kukuh namun cakap-cakap industri memberitahu bahawa UMW Toyota akan membawa masuk model ini tahun depan.

Namun masalahnya rasa kami ialah posisi harga.

Buat masa sekarang, Toyota ada tiga SUV iaitu Rush, CH-R dan Harrier tetapi kekurangan satu dalam segmen yang penting iaitu SUV – C. CH-R dijual pada harga RM150K iaitu tangga harga yang sama dengan CX-5 dan CR-V.

Aneh, tetapi CH-R tetap ada permintaan yang bagus di Malaysia. Cuma jika Rav4 dibawa masuk, berapa pula harga jualannya nanti?

RM200K? Ya. mungkin sekitar itu, tetapi apabila melihat sendiri Rav4 baru ini akan akan tahu bahawa ia datang dengan pakej premium.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button