BuletinModifikasi

KANPACHI AUTO SALONE: INI GAYA PAMERAN SPOON SPORT!

Sejak dua tahun yang lalu, Spoon Sport tidak lagi menyertai Tokyo Auto Salon. Atas apa juga sebabnya, mereka telah mengadakan mini Auto Salon mereka sendiri yang diadakan di premis Type One yang terletak di Minamiogikubo kira-kira 30 minit memandu dari tengah bandaraya Tokyo.

Kami tiba di premis ini lewat petang semalam dan keadaan ketika itu agak lengang dengan bilangan pengunjung yang semakin berkurang. Sebenarnya, kami mengharapkan sesuatu yang eksotik namun sebenarnya ia lebih berkonsepkan “rumah terbuka” berbanding Auto Salon.

Kereta-kereta yang dipamerkan semuanya pernah kami saksikan tahun lepas, kecuali sebuah Civic FK8R yang diperagakan di tingkat bawah.

Bagaimanapun Kehadiran pengasas Spoon Sport Tatsuru Ichishima melayan pengunjung sedikit menceriakan suasana. Pada satu ketika beliau berusaha menghidupkan enjin sebuah Motosikal Honda klasik dengan menolaknya beberapa kali di kawasan luar premis bersama kakitangan Spoon Sport.

Jika tahun lepas, kebanyakan bahan jualan habis di hari pertama, kali ini mereka menghadkan pembelian hanya satu sahaja bagi setiap pengunjung. Beberapa jenis barangan habis pada hari pertama, Jumaat dan stok berikutnya hanya akan dijual pada hari Sabtu.

GALERI

Google ads
Back to top button