Pandu Uji

PANDU UJI: VW PASSAT BUKAN BIASA BIASA

Volkswagen sebenarnya merupakan 2 suku kata iaitu Volks dan wagen. Volks bermaksud rakyat dan wagen bermaksud kereta.

Jadi di Jerman ia bermaksud kereta rakyat dan dalam erti kata lain ia bukanlah jenama yang premium seperti jenama yang berasal dari Stuttgart dan juga Bavaria. Lebih kurang jenama tempatan Malaysia untuk rakyat biasa dengan harga berpatutan.

Namun ia tidak bermaksud Volkswagen tidak boleh dijadikan sebagai satu jenama mewah.

Sesi pandu uji kali ini melibatkan sebuah sedan segmen D bersama sebuah Volkswagen Passat B8 atau generasi ke 8. Passat memulakan sejarah yang panjang apabila mula diperkenalkan lagi semenjak tahun 1973 sebagai sebuah pilihan sedan kepada Golf yang kompak.

Spesifikasi

ModelVolkswagen Passat Highline
HargaRM195,390
Enjin2.0 TSI Direct Injection & Variable Valve Timing
TransmisiDirect Shift Gear Wet Clutch
Suspensi DepanTopang McPherson dan Bar Penstabil
Suspensi BelakangMultiLink
Berat1430 kg
DimensiPanjang 4767mm, Lebar 1832mm Jarak antara Roda 2791mm
Ruang Kargo586 Liter
Saiz Tayar235/45 R18 Continental MC5
Ciri Keselamatan6 Beg Udara SRS
Kawalan Kestabilan Elektronik ESC
Adaptive Chassis Control
Lane Keeping Assist
Driver Alert System
5 Star ASEAN NCAP
Electronic Differential Lock
Tyre Pressure Monitor Control

Rekaan luar Passat diilhamkan oleh Philippe Romers dengan menggunakan platform MQB yang versatil.

Platform ini membenarkan jurutera menambah lebar, mengubah panjang jarak antara roda dan ketinggian bagi menghasilkan sebuah model serba baru yang lebih kompak namun kabin yang amat selesa.

Walaupun terdapat pengeluar lain yang cuba menjadikan sedan dengan rekaan fastback, Passat B8 ini mengekalkan bentuk yang konvensional sedan 3 kotak yang besar.

Mungkin sesetengah orang berpendapat rekaan ini nampak seperti direka untuk golongan pencen, namun bagi penulis rekaan ini diserikan dengan garisan garisan pada fender depan, pintu dan belakang menghasilkan rekaan yang nampak eksklusif

Passat tidak berusaha nampak muda dengan pemasangan sayap, sirip ataupun sisik yang merepek. Ia menyatakan simbolik rekaannya menerusi rekaan sedan yang lebar, tayar yang besar, nampak rendah, lampu LED yang terang dan maskulin.

Masuk pula di bahagian dalam, perkara pertama yang anda perasan ialah kemasan bercorak kayu menghiasi papan pemuka dan panel pintu menjadikan penampilan Passat sedikit hambar.

Adalah lebih baik jika ia dibalut dengan kulit ataupun suede sahaja. Rekaan roda steering yang rata pada bahagian bawah pula memberi petunjuk yang Passat ini bukan biasa biasa

Semua paparan maklumat pemanduan, tetapan kereta, penyaman udara, sistem audio, tetapan cesi, dan pelbagai sistem amaran disumbat pada bahagian tengah konsol.

Paparan meter pula menggunakan teknologi LED yang tampak begitu realistik boleh memaparkan pelbagai maklumat lain termasuk sistem pandu arah GPS. Sudahnya penulis matikan semua paparan dan guna sahaja tetapan yang memaparkan maklumat yang minima

Kusyen yang digunakan oleh Passat menerima rekaan semi bucket yang memberi sokongan yang baik untuk ketinggian penulis 165cm. Masalah biasa iaitu lenguh pada bahagian lower back tidak terasa dengan kusyen ini.

Bahagian bahu terasa lebar dan memberi sokongan yang baik pada lengan. Terdapat 2 tetapan memori untuk pemandu dan sebagai bonus ia turut menampilkan fungsi mengurut pada bahagian pinggang. Memang layan habis

Sokongan kepala boleh diubah secara mendatar pada bahagian depan dan penumoang belakang menerima ruang kaki yang amat luas. Sistem penyaman udara menawarkan 3 tetapan suhu yang berbeza untuk pemandu, penumpang depan dan belakang.

Namun Passat tidak menawarkan slot pengecas telefon pintar dan sambungan slot USB untuk thumbdrive memerlukan adaptor.

Ruang kargo menawarkan 586 liter pada bahagian belakang mencukupi untuk anda memulakan perniagaan penyeludupan manusia. Tapi lantai ruang kargo tidak dalam dan hanya memanjang ke arah kabin. Mungkin ia terpaksa bertolak ansur dengan tayar simpanan yang bersaiz penuh.

Proses membuka pintu boleh dibuat dengan butang pada alat kawalan jauh ataupun menolak logo VW ke arah dalam. Penyandar tempat duduk ke belakang boleh dilipat bagi memberikan lebih ruang untuk barangan yang panjang

Istimewa berkenaan Passat ialah unit trenkuasa yang dibekalkan oleh Volkswagen. Enjin Passat 2000cc dengan sistem turbo dan dipadankan dengan transmisi klac berkembar DSG 6 kelajuan, sama seperti Golf GTi.

Enjin ini menghasilkan 350Nm tork dan 217 kuasa kuda iaitu hanya kurang 10 kuasa kuda berbanding dengan Golf GTi. Unit transmisi 6 kelajuan ini menggunakan sistem klac basah iaitu minyak hidraulik digunakan sebagai medium penyejukan

Sebaik sahaja anda duduk di kerusi pemandu, perkara pertama yang anda sedar ialah saiz kereta ini amat lebar dan pajang. Jika ada sistem kamera 360 darjah ia amat membantu untuk melalui jalan sempit dan memarkir di ruang terhad.

Disebabkan banyak fungsi kereta disumbatkan dalam paparan tengah, maka penulis terpaksa mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan semua unit kawalan. Jangan risau dengan saiznya yang besar, fungsi parkir automatik turut disediakan

Perkara pertama yang dicari ialah mencari kelemahan sistem transmisi DSG ini sendiri ketika melalui trafik sesak dan pada halaju kurang 40km/j.

Namun amat susah sekali untuk mengesan atau merasai transmisi ini tersengguk-sengguk atau penukaran gear yang cemerkap. Terasa lancar sekali walaupun tanpa bantuan penukar tork. Prestasi DSG buatan VW memang bagus jika dibandingkan dengan DCT buatan Korea ataupun Jepun

Prestasi enjin ini walaupun di atas kertas kalah kepada enjin buatan Korea, namun prestasi di atas jalan memang padu.

Pecutan yang dibuat terasa sangat bertenaga dan lancar meluru terus ke depan tanpa ragu ragu. Jika ia terus didesak, enjin ini tidak malu malu untuk memecut pada halaju dua kali ganda hadlaju lebangsaan serta memastikan anda bergambar di setiap kamera AES

Di atas kertas ia berupaya memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa 6.7 saat dan halaju maksimanya pada 246km/j. Namun penggunaan petrolnya masih lagi kekal waras di mana VW mendakwa setiap liter petrol membolehkan Passat dipandu sejauh 16.1km. Ujian jalanan yang dibuat oleh penulis mencatatkan penggunaan petrol sekitar 15.8km per liter petrol.

Kawalan cesi yang ditunjukkan oleh Passat juga wajar dipuji. Jika mode pemanduan Eco atau Comfort dipilih, ia akan terasa amat tenang dan santai. Sebaik sahaja penulis mengubah mode pemanduan pada Sport, tetapan stereng, penyerap hentak dan tetapan enjin berubah menjadi nakal seperti sebuah jentera GTi. VW menamakan teknologi ini sebagai Adaptive Chassis Control

Kawalan stering terasa yakin walaupun dipandu laju, prestasi brek tidak perlu diragui namun penyerap hentak terasa sedikit keras.

Jika memandu seorang diri, tidak salah sekali sekala melepas geram dengan syarat jalan mestilah kosong. Olengan cesi sangat terkawal walaupun penulis berusaha melemparkan Passat ke selekoh. Cengkaman tayar amat meyakinkan di selekoh.

Salah satu ciri unik yang ada pada Volkswagen Passat ialah Advanced Electronic Differential Lock (XDS) yang akan bekerjasama dengan sistem ESC  sepanjang masa.

Sebaik sahaja sistem mengesan Passat dipandu laju ketika selekoh, sistem ini dengan bantuan ESC akan menghantar kuasa dan cengkaman yang tepat pada setiap tayar bagi menghalang tayar tergelincir dan mengalami masalah indertseer. Ia menjadikan Passat sangat tangkas di selekoh namun masih lagi selesa

Namun jika anda menekan minyak dengan rakus di lampu isyarat, maka berjaga-jagalah kerana cengkaman tayar Continental ini tidak cukup untuk menampung 350Nm tork. Anda perlu menjadi berdisiplin untuk memandu Passat kerana jika dilayan nafsu liar anda, pasti berderet surat saman akan sampai ke rumah

Memandangkan Passat ini merupakan produk yang dilancarkan pada tahun 2015, maka ia akan ketinggalan sedikit dari segi penawaran ciri ciri moden seperti kamera 360 darjah, sistem amaran titik buta, sistem amaran pra perlanggaran,  brek pra perlanggaran dan juga amaran lintasan belakang

Namun ia masih lagi lengkap dengan 6 beg udara, Lane Keeping Assist System, sistem pemantauan pemandu bagi mengelakkan memandu dalam keadaan mengantuk, kawalan kestabilan elektronik, lampu depan LED adaptif yang mengikut sudut roda stering, lampu selekoh sambungan Apple Car Play dan juga Android auto

Berita baik. Jika anda membeli membeli Passat sebelum 31 Disember 2019, anda akan menerima 5 tahun servis percuma, 5 tahun jaminan, 5 tahun bantuan kecemasan dan faedah serendah 1.88 peratus. Ia pasti menjadikan tawaran harga pada RM195,000 semakin menarik.

Jika anda perlukan sebuah sedan yang premium, luas, selesa, sesuai diparkir di lobi hotel, meratah selekoh dengan pantas dan dipasang dengan enjin yang sama dengan Golf GTi, apa kata anda cuba pandu uji Passat hari ini.

Sepatutnya Volkswagen menamakan Passat ini sebagai Passat GTi, bukannya Passat Highline.

Google ads
Back to top button