KEMALANGAN JALANRAYA DI SINGAPURA – APA YANG PERLU DILAKUKAN?
Pada 1 April 2019 hari Isnin saya telah terlibat di dalam kemalangan yang melibatkan 3 buah motosikal di lebuhraya BKE-PIE di kilometer 11, Singapura. Kejadian berlaku pada lebih kurang 8.45 pagi. Ketika itu jalan sedikit licin kerana hujan di awal pagi.
Artikel ini saya kongsikan kepada anda tentang apa yang perlu dilakukan jika terlibat di negara jiran kita Singapura. Maklumlah, jika di negara sendiri semuanya senang diatur namun segalanya berbeza jika kita berada di negara jiran.
Pertama sekali, sejurus selepas kemalangan di mana saya terbang lalu terseret dan berhenti apabila badan saya melekat di pembahagi jalan adalah mengucapkan kata syukur yang tak terhingga kehadrat Illahi.
Alhamdulillah. Itulah kalimah yang keluar dari mulut saya berulang kali. Saya masih didunia, diberi peluang kedua.
Kemudian, saya cek setiap pancaindera saya. Masih boleh mendengar, melihat dan bercakap. Saya periksa tubuh badan saya satu persatu untuk kenalpasti kecederaan.
Orang ramai yang berhenti disitu juga menolong saya memeriksa anggota badan saya dan setelah itu mereka membantu saya bangun dari tempat kejadian.
Panik ! Itu normal apabila terlibat dalam kemalangan. Saya ditenangkan oleh orang sekeliling. Kemudian saya periksa keadaan motor saya. Keadaan motor saya ketika itu agak teruk dan tidak boleh bergerak sama sekali.
Setelah itu, saya ambil gambar tempat kejadian dan juga motor saya beserta mangsa yang terlibat. Saya ambil butiran masing-masing.
Setelah keadaan kembali tenang, saya hubungi anggota keluarga saya (ibu,isteri), majikan dan ejen insuran saya. Adalah penting untuk memaklumkan keadaan kita untuk tidak memburukkan lagi keadaan dan meyakinkan ahli keluarga kita yang kita dalam keadaan baik.
Tidak lama selepas itu, pihak Ambulans dan Polis Bantuan dari AETOS/CERTIS CISCO Singapura datang dan mengambil butiran kami semua.
Saya menolak untuk dibawa menggunakan Ambulans kerana kecederaan saya tidak berapa parah dibandingkan dengan mangsa yang lain. Pihak Ambulans bertindak mencuci luka saya dan selepas memastikan saya dalam keadaan baik mereka kemudiannya beredar.
Setelah itu, pihak yang ditunggu-tunggu kemudiannya datang iaitu TP (Traffic Police). Beliau mengambil segala butiran kami (sekali lagi)!
Dokumen yang dipinta pula adalah Malaysia Identification Card (IC), Lesen Memandu, Nombor Majikan dan Permit Kerja.
Kemudian pihak TP mengeluarkan satu kad yang dipanggil Case Card. Case Card ini hendaklah ditunjukkan ketika membuat laporan Polis.
Pihak EMAS Recovery (penyelenggara lebuhraya) datang beberapa minit selepas itu untuk menunda motor kami semua (3 motor semuanya). Untuk pengetahuan, kenderaan kita tidak akan disita melainkan kenderaan kita dikenalpasti terlibat dalam jenayah lampau atau mempunyai saman tertunggak.
Mereka akan menunda kenderaan kita ke parkir berdekatan untuk memudahkan kita menunda sendiri kenderaan kita ke Malaysia nanti.
Motor saya serta diri saya kemudiannya ditunda ke kawasan parkir Dairyfarm Nature Park.
Di situ saya menghubungi pihak tunda dari Johor Bahru. Nama beliau Hafizuddin atau dikenali sebagai Din Sumbu. Beliau boleh dihubungi di talian 013-7273834.
Anda sebut je anda di mana beliau sepantas kilat akan sampai ke tempat anda. Jalan-jalan di Singapura memang makanan beliau. Tidak sampai satu jam, beliau yang memandu Proton Arena kemudiannya sampai dan motor saya selamat berada di atas kenderaan beliau.
Ingat tentang Case Card yang diberi oleh TP tadi ?
Ya, laporan polis hendaklah dibuat dahulu sebelum anda meninggalkan Singapura. Jika tidak, anda akan mengalami masalah untuk keluar di Checkpoint nanti.
Selepas membuat laporan polis, saya seterusnya pulang je Johor Bahru dan terus ke Hospital KPJ Pakar Puteri, Johor Bahru.
Di Hospital, pertama sekali setelah mereka tahu saya terlibat dalam kemalangan, suntikan kancing gigi terus diberikan kepada saya dan juga beberapa suntikan susulan.
Kemudian luka saya dicuci dan ditempatkan di wad selama 3 hari untuk rawatan susulan. Bil? Ada Takaful takut apa Bossku ? Haha.
Jadi, apa yang dapat saya simpulkan disini adalah jangan takut dan jangan cuba lari apabila terlibat dalam kemalangan. Lagi-lagi bila berada di negara orang.
Hormat undang-undang negara mereka dan ikut segala prosedur yang ditetapkan InsyaAllah segalanya akan berjalan lancar. Memanglah kita tidak mahu kemalangan berlaku. Tapi jika berlaku, tenang dan ikut segala prosedur.
Saya ringkaskan sekali lagi butir-butir penting.
- Periksa badan dan kenderaan
- Maklumkan pada ahli keluarga dan rakan
- Tunggu pihak berkuasa serta Ambulans
- Ikut segala prosedur yang ditetapkan
- Tunda kenderaan pulang ke Malaysia
- Dapatkan rawatan di Hospital/Klinik
Saya harap, perkongsian saya kali ini dapat membantu anda di kemudian hari. Namun, jika kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa, mungkin senarionya sedikit berbeza.