![](https://www.mekanika.com.my/wp-content/uploads/2019/08/Adam-Norrodin-780x405.jpg)
Sewaktu pelumba Malaysia, Adam Norrodin pertama kali disahkan untuk kelas SuperSports 600cc pada 2019 FIM Asia Road Racing Championship, tanggungjawab yang digalasnya cukup besar. Ramai pihak meletakkan harapan yang tinggi di bahunya.
Sebagai bekas pelumba Moto3, Adam telah dilihat sebagai antara pelumba kegemaran untuk memenangi gelaran 600cc tahun ini.
Ketika musim perlumbaan bermula, Adam sering dibayangi oleh pencabarnya Peerapong Boonlert dan juga gaya tunggangan Kasma Daniel.
Di Litar Antarabangsa Zhuhai untuk Pusingan 5 2019 FIM Asia Road Racing Championship, Adam Norrodin akhirnya mendedahkan prestasi sebenarnya.
Penunggang SIC Junior ZK Racing itu memulakan perlumbaan 12 pusingan dari barisan kedua selepas layak ke P5 dengan 1’38.028s. Beliau nampak konsisten dalam setiap pusingan di Litar Antarabangsa Zhuhai walaupun dengan suhu panas.
Walaupun Kasma mendapat posisi baik memasuki Lap 1, Adam dapat memastikan bahawa dia tetap kekal dalam kelompok utama.
Kasma terus berentap dengan Peerapong Boonlert dan Ramdan Rosli, Adam secara taktikal berjaya mencuri ruang. Pada Lap ke- 7, penunggang muda itu akhirnya mengatasi juara bertahan Peerapong dan Ramdan dan kini dalam posisi untuk mencabar Kasma.
Penunggang SIC Junior ZK Racing itu melancarkan “serangan” sempurna ke atas Kasma di selekoh terakhir, dan berjaya memintas Kasma ke garisan penamat dengan selisih cuma 0.087s.
Adam kini mencapai kemenangan ARRC pertamanya dengan masa 19’38.917s, meletakkan Kasma untuk kedua dengan 19’39.004s. Untuk kali kedua musim ini, ketua kejohanan Peerapong Boonlert terpaksa berpuashati di tempat ketiga.