
JORGE LORENZO MUNGKIN SERTAI SEMULA DUCATI. JACK MILLER BENGANG
Pelumba pasukan satelit Pramac Ducati, Jack Miller mendedahkan bahawa antara punca dia masih belum menerima kontrak untuk tahun 2020 adalah kerana pengurusan kanan Ducati mungkin mahu mengambil Jorge Lorenzo sebagai pelumba mereka.
Berita itu nyata membuatkan Miller bengang kerana jika benar, dia mungkin tidak lagi menjadi sebahagian daripada pasukan Ducati pada musim depan.

Prestasi Miller baru-baru ini dilihat semakin positif apabila mencatat kedudukan dua kali podium pada tahun ini.
“Saya fikir mungkin ada benarnya Lorenzo cuba untuk kembali menyertai Ducati kerana dia tidak perform dalam pasukan Repsol Honda. Cara paling senang untuk dia adalah kembali dengan Ducati.
“Saya bagaimanapun tidak tertekan dengan khabar angin ini. Saya rasa Pramac dan kebanyakan orang di Ducati masih mahukan saya. Setakat ini, sebahagian besarkontrak sudahpun dipersetujui.
“Apa yang boleh saya lakukan adalah tunggu dan lihat, selain terus melakukan yang terbaik,” kata Miller.

Harus tahu bahawa Ducati sebagai principal mempunyai kuasa mutlak untuk memilih barisan pelumpa pasukan satelit seperti Pramac.
Perkembangan terbaharu Lorenzo itu agak mengejutkan kerana dia keluar dari pasukan Ducati ketika kontraknya masih belum tamat untuk menyertai Honda.
Malangnya, prestasi Lorenzo bersama Honda dilihat terus terumbang-ambing dan ia diburukkan lagi dengan masalah kecederaan yang dialaminya.