
KENAPA ADA SPORT RIM GUNA 4 LUBANG? EH ADA YANG GUNA 5 LUBANG?
Semalam Perodua telah melancarkan satu lagi model baru iaitu Ativa hibrid dalam kuantiti yang sangat terhad iaitu sebanyak 300 unit sahaja. Dari segi luaran, boleh dikatakan 90% rekaan Ativa hibrid ini adalah sama dengan Ativa biasa yang menggunakan enjin turbo.
Tapi jika anda membuat penelitian, terdapat sedikit beberapa perbezaan terutama dari segi rekaan jeriji depan, bampar belakang, bampar depan dan juga rekaan rim yang digunakan. Rim yang digunakan oleh Ativa hibrid menggunakan rim dengan 5 lubang manakala rim Ativa turbo menggunakan rim 4 lubang.
Kalau anda ingat dulu, Perodua Aruz juga menggunakan rim dengan rekaan 5 lubang. Jadi kenapa Ativa turbo menggunakan rekaan 4 lubang manakala Ativa hibrid dan Aruz menggunakan rekaan 5 lubang? Bagi memudahkan anda, kami bagi terus jawapan pendek.
Rekaan rim 5 lubang mempunyai kelebihan berbanding dengan rekaan rim 4 lubang kerana ia boleh menampung lebih banyak tekanan dan juga berat. Rekaan 5 lubang lebih sesuai bagi kenderaan prestasi tinggi dan kenderaan yang lebih berat.

Jika salah satu nut menjadi longgar atau tercabut, kenderaan adalah lebih mudah untuk dikawal dan lebih stabil berbanding dengan rekaan 4 lubang. Dari segi kos pula, rim rekaan 4 lubang adalah lebih murah untuk dihasilkan dan ia jauh lebih ringan.
Roda (gabungan tayar dan rim) akan dikat dengan menggunakan bolt pada kenderaan dengan kaedah ikatan skru pada stud. Stud pula dipasang kepada wheel hub namun ia boleh berputar pada paksinya mengikut halaju kereta
Kebanyakan kereta moden menggunakan rekaan 5 lubang, tapi sesetengah kereta sedan atau kompak yang ringan masih menggnakan rekaan rim 4 lubang sebagai peralatan standard. Secara mudah, semakin berat satu kereta, semakin banyak lubang dan bolt yang akan digunakan untuk memasang tayarnya
Bolt dan nut tadi direka bagi menahan tekanan yang dihasilkan oleh kenderaan, semakin banyak daya dan tekanan yang dihasilkan oleh kenderaan, maka makin banyak nut dan bolt diperlukan. Maka jangan terkejut kerana sesetengah lori memiliki sehingga 8 nut dan bolt.

Terdapat beberapa kelebihan dari segi prestasi antara rekaan rim 4 lubang dan 5 lubang ini. Ini termasuklah:
1. Unsprung weight – atau dalam bahasa melayu ialah berat yang tidak ditampung oleh spring dan penyerap hentak iaitu tayar dan rim. Rekaan rim 4 lubang adalah lebih ringan berbanding dengan rim 5 lubang yang akan mempengaruhi keupayaan brek dan pengendalian
Semakin berat unsprung weight ini, sistem suspensi kenderaan perlu bekerja keras bagi memastikan tayar sentiasa menyentuh permukaan jalan. Hasilnya ia akan menjejaskan pengendalian dan juga keselesaan
2. Lebih stabil – rekaan rim 5 lubang adalah lebih stabil dan selamat sekiranya saah satu bolt tercabut daripada stud. 4 bolt yang lain masih boleh mengagihkan daya yang dihasilkan oleh enjin dengan selamat
3. Kos murah – rim dengan rekaan 4 lubang lebih murah untuk dihasilkan berbanding dengan rim rekaan 5 lubang. Rim 4 lubang menggunakan bahan mentah yang sedikit dan kaedah pembuatan yang tidak kompleks

4. Penampilan – bergantung pada rekaan sport rim aloi, jika satu rim 5 bilah tapi dihasilkan dengan 4 lubang maka rekaannya mungkin nampak cacat sedikit. Rekaan rim 5 bilah dengan 5 lubang adalah jauh lebih cantik
Sebenarnya bergantung pada bajet dan ketebalan poket anda, rekaan rim 4 lubang boleh ditukar kepada 5 lubang dengan menukar hub yang memiliki 5 stud. Ada juga adapter yang dijual bagi membolehkan rim 5 lubang dipasang pada hub yang memiliki 4 stud tapi ia kurang selamat, menjadikan stering terasa berat dan menyebabkan kehausan pada komponen yang lain