Buletin

PERSAINGAN PERLUMBAAN VIOS CHALLENGE TERUS SENGIT

Diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, perlumbaan kedua terakhir Vios Challenge adalah perkara yang diharapkan oleh peminat perlumbaan untuk mengumpul mata berharga bagi menjulang kejuaraan keseluruhan.

Aksi paling sengit dapat dilihat dalam kategori Super Sporting Class yang dimenangi oleh Eddie Lew dari Laser Motor Racing. Di tempat kedua ialah Hayden Haikal dari Axle Sports, manakala di tempat ketiga dimiliki oleh Mark Darwin.

Lew memulakan perlumbaan dari petak pertama untuk mendahului 3.3 saat di hadapan Hayden. Manakala perebutan tempat ketiga amat sengit dengan tidak kurang daripada lima pemandu cuba merebut posisi tersebut hingga ke garisan penamat.

Dalam Sporting Class untuk gentlemen dan pelumba amatur, Naquib Azlan dari Axle Sports mendahului perlumbaan 20 pusingan dari awal hingga akhir. Abdul Miqail dari 23 Motors’ melakukan kejutan apabila dia mencatatkan pusingan terpantas untuk bermula dari petak pertama.

Berada di tempat kedua ialah Tom Goh dari S&D Tama Motorsports yang menamatkan perlumbaan hanya 0.3 saat di belakang Naquib Azlan. Di tempat ketiga ialah Mohd Shafiq Samsudin. Sementara Bradley Benedict Anthony dari Crestmax Motorsport menduduki tempat keempat dan Mirza Syahmi Mazlan dari Carroof Motorsport berjaya menempatkan diri dalam senarai lima teratas.

Dalam Kelas Rookie pula, Nabil Azlan meneruskan penguasaannya untuk memenangi perlumbaan 20 pusingan mendahului Muhammad Hamdany dan Muizzuddin Musyaffa yang meraih tempat kedua dan ketiga.

Kelas Promosi menyaksikan pertarungan di antara pelakon Zizan Razak dan Shukri Yahaya dari permulaan sehingga tiga pusingan terakhir sebelum kedua-dua pemandu bertembung.

Zizan memenangi perlumbaan meskipun kondisi kereta dipandunya telah rosak, dengan menamatkan perlumbaan 4.2 saat di hadapan penyanyi Nabila Razali. Sementara Nabil Ahmad di tempat ketiga.

Penalti yang dikenakan ke atas Zizan kerana menyebabkan perlanggaran membuatkan kedudukan berubah apabila Zizan sekadar meraih tempat ketiga. Ini bermakna Nabila Razali mengambil alih posisi nombor satu, dan Nabil berada di tempat kedua.

Meraikan akhir musim ke-5 menyaksikan Litar Antarabangsa Sepang berubah menjadi medan festival, dengan pelbagai aktiviti untuk peminat dan penonton. Ini termasuk peluang untuk beramah mesra dengan selebriti kegemaran mereka selain pameran, penjualan barangan GAZOO Racing dan Toyota.  

Malam itu turut menyaksikan peminat dihiburkan dengan persembahan pentas yang diketuai oleh selebriti perlumbaan TGR Wany Hasrita dan Nabila Razali. Konsert khas Rappers & Racers selama 40 minit berakhir dengan persembahan K- Clique.

Aktiviti di trek termasuk hari trek untuk pemilik kelab pelbagai kereta Toyota, dan sesi khas di mana 10 legenda sukan permotoran Malaysia telah dijemput untuk memandu uji kereta lumba Vios Challenge.

Google ads
Back to top button