
KENAPA ASPEK SISTEM KAWALAN KERETA SANGAT PENTING?
Biasanya jika kami melaporkan sebuah model baru atau mana-mana model sekalipun, kami akan ceritakan juga berkenaan dengan sistem pemanduan dan kawalan sesebuah kereta. Sedikit sebanyak pun kami akan sentuh juga dari aspek itu. Apakah kepentingannya? Kenapa setiap kali kereta baru keluar, maklumat berkenaan akan disertakan sekali dalam risalah atupun brosur jualan?
Memang benar rata-rata pembeli tidak berminat dengan pemanduan dan juga kawalan sebuah kereta. Mereka lebih berminat dengan susun atur kabin dalaman, sistem audio sama ada boleh sambung dengan i-Phone ataupun tidak, penjimatan bahan api, kos operasi dan segala macam lagi.
Bagi sebuah kereta sports, sistem pemanduan dan kawalan memang sangat penting kerana rata-rata pembeli mahukan sebuah kereta yang stabil, mampu memecut dengan pantas walaupun di selekoh dan laluan lurus di lebuhraya. Mereka biasanya berada di laluan kanan sambil menghalau anda yang sudah tunduk ke stereng memerah keringat dah habis meter Myvi SE Advance berwarna kuning dengan helmet kontraktor di bahagian papan speaker belakang serta baju acah-acah F1 yang digantung tepi tingkap.
Model-model mewah pula mestilah cukup selesa dengan tempat duduk yang empuk diperbuat daripada kulit tujuh ekor lembu yang boleh dilaras, sistem suspensi yang lembut di awang-awangan dan peralatan audio dengan belasan speaker untuk menghasilkan sistem bunyi setanding dengan Istana Budaya. Tetapi bagaimana dengan model-model asas seperti Bezza ataupun Saga BLM? Penting juga sistem pemanduan dan kawalan ni?
Jawapannya semuanya sama penting. Faktor pertama yang kita kena ingat ialah harga sebuah kereta di negara ini tidak murah. Biasanya kereta yang sama akan digunakan untuk berulang alik ke tempat kerja, hantar anak ke sekolah, pergi ke pasar, balik kampung, tolong hantar anak jiran ke klinik dan kadangkala membawa barang-barang terpakai ke flea market.
Kereta itu jugalah yang akan kita pecut sekali sekala untuk melepaskan gian terutamanya bila balik dari panggung wayang selepas menonton The Fast and The Furious. Kecuali jika anda wartawan permotoran seperti kami yang selalu dapat membelasah kereta-kereta media secara percuma. Sekali-sekala dapatlah merasa membawa kereta-kereta premium dan berlagak seperti seorang aristokrat.
Sebenarnya, jika seorang pemilik itu bukan kaki kereta pun mereka akan dapat membezakan bila kereta mereka berada dalam keadaan tidak sempurna. Kerangka yang diimbang dengan baik, sistem suspensi dan stereng yang dilaras dengan sempurna akan membuatkan hari anda lebih ceria.
Bayangkan jika anda melalui hari yang suram ataupun teruk, kena marah dengan boss di pejabat dan dalam perjalanan balik kereta anda bergegar ataupun melantun-lantun bila melalui jalan yang sedang dibaiki. Bukankah rasa makin tertekan dan nak hempuk kepala Abang Japar? Selain daripada selesa, kereta anda juga perlu stabil dan selamat dipandu.
BACA: COLORADO GUNA SUSPENSI SUPERCAR
Anda mungkin tidak perasan sebarang kekurangan jika kereta anda dilaras dengan baik tetapi sebaliknya anda akan cepat “menangkap” jika ia tidak dilaras dengan baik. Contohnya jika kereta anda masih meluncur ke depan walaupun brek sudah ditekan. Maksudnya pad brek sudah mula haus dan perlu diganti, sedangkan gaji masih lambat lagi?
Sistem kawalan yang sempurna juga akan membuatkan perjalanan anda ke tempat kerja lebih selesa walaupun melalui jalan-jalan yang berliku. Kawalan stereng anda akan menjadi lebih baik dan gegaran-gegaran kecil akan diserap sepenuhnya oleh penyerap hentak kereta anda.
Stereng dengan bantuan kuasa dan dilaras dengan baik akan memberikan keselesaan kepada anda. Tidak perlulah kita bergelut dengan stereng jika ingin membuat pusingan-U ataupun keluar masuk petak parkir. Ramai orang ingat, stereng kuasa tiada penyelenggaraan, betul kalau semuanya dalam keadaan terjaga. Kalau penebat minyak, motor hidraulik bocor dan ketiadaan bendalir dalam pam stereng akan menyebabkan stereng sebuah Wira akan rasa seperti sebuah lori 3 tan.
Akhir sekali, sistem suspensi yang baik juga memastikan tayar anda melekat dengan baik di permukaan jalan. Kalau absorber dah arwah, baiklah gantikannya cepat. Kesannya akan melarat daripada pemanduan yang tak sedap, hinggalah jajaran yang susah dibuat dan tayar yang makan tidak rata.
BACA: PENGARUH SAIZ RIM PADA PENGENDALIAN
Konsepnya sama dengan pelbagai ciri keselamatan aktif dan pasif seperti beg udara, tali pinggang keledar, sistem brek anti-kunci dan sebagainya yang dilengkapkan pada kenderaan anda. Kita semua sebenarnya tidak pasti bila kita perlukan bantuan semua sistem ini tetapi ujian yang telah dijalankan membuktikan ianya memang dapat menyelamatkan nyawa.
Sistem pemanduan dan kawalan nampak tidak penting kerana ia bukannya sesuatu yang selalu kita pegang dan sentuh seperti sistem audio dan navigasi tetapi kepentingannya memang cukup besar. Bila semuanya sudah dalam keadaan sempurna, kita akan menikmati pemanduan yang lebih baik walaupun sudah tersesat jalan.