Buletin

TIADA LAGI NOMBOR PLAT PENDAFTARAN “FANCY” SELEPAS 2017

Memetik laporan theSun, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan bahawa pihaknya akan menyelesaikan masalah nombor plat kenderaan ‘fancy’ menjelang suku ketiga 2017.

Penegasan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi selepas satu bengkel “Penseragaman Nombor Plat Pendaftaran Kenderaan” yang diadakan baru –baru ini.

Kami juga berpendapat sudah sampai masanya kita selaraskan keluaran nombor plat supaya dapat diseragamkan. Sepatutnya perkara ini diselesaikan 20 tahun lepas. Kita sangat ketinggalan berbanding negara jiran yang sudah menetapkan piawai tepat bagi setiap jenis kenderaan yang didaftarkan.

Proton-Perdana-media-drive-2016-mekanika (8)

Bengkel itu membincangkan tentang ketirisan dalam penghasilan nombor plat di seluruh negara. Situasi itu menyebabkan penggunaan nombor plat dengan spesifikasi yang tidak mematuhi undang-undang dilihat kian berleluasa.

Sekiranya polisi ini diluluskan, ia akan dikuat-kuasakan untuk kenderaan baharu, termasuklah motosikal. Sebelum diikuti oleh kenderaan lain dalam tempoh tiga tahun berikutnya.

“Mekanisma baru ini mestilah membolehkan pihak berkuasa memantau peniaga atau vendor di seluruh negara untuk menghasilkan nombor plat kenderaan yang mematuhi Undang-Undang Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Perlesenan) 1959,” kata Aziz.

Rio Sedan (3)

Justeru, JPJ mahu semua peniaga mendaftar dengan pihaknya. JPJ kemudian akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk mengambil tindakan sewajarnya apabila perlu.

Aziz juga mahu bengkel yang terlibat untuk menggunakan material lebih tahan lama seperti besi. Ini kerana plat plastik yang digunakan sekarang tidak tahan lama, selain mudah diganti dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Malah, mekanisma baru penghasilan nombor plat itu mestilah kos efektif.

Langkah menyeragamkan nombor plat itu dilihat penting untuk mencegah kegiatan jenayah dan penguatkuasaan peraturan keselamatan jalan raya.

“Kami akan mencari jalan supaya nombor plat baru ini tidak melibatkan kos yang tinggi dan membebankan rakyat. Kami juga akan memastikan tidak wujud masalah monopoli,” tegas Aziz.

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button