
KENAPA CERMIN PANDANG BELAKANG ADA SUIS AUTO?
Memandu pada waktu malam terutama untuk perjalanan jarak jauh sebenarnya meletihkan dan memenatkan terutama apabila mata kita perlu memberi fokus kepada jalan yang gelap. Pada masa yang sama mata kita juga akan terdedah kepada cahaya lampu yang terang terutama dari depan dan juga belakang.
Bagi kereta biasa, ia akan dilengkapi dengan satu tuil mekanikal yang akan mengubah sudut pantulan cahaya daripada belakang ke arah lain agar mata kita tidak silau jika ada kereta lain sedang mengikuti di bahagian belakang. Masalah silau ketika memandu disebabkan pendedahan cahaya lampu daripada kereta lain disebut sebagai “Troxler Effect”.
Fenomena Troxler Effect ini akan menyebabkan tindakbalas dan reaksi pemandu menjadi lambat sehingga 1.4 saat . Ketika memandu pada halaju 100km/j, kereta sudahpun bergerak sejauh 37.5 meter dan ia merupakan satu masalah yang membahayakan pemandu akibat silau

Bagi kereta moden yang dilengkapi dengan cermin pandang belakang anti silau atau malap secara automatik (auto dimming), cermin pandang belakang ini mampu menjadi sedikit gelap secara automatik melalui proses yang disebut sebagai elektrokromic. Sensor yang dipasang pada cermin pandang belakang akan mengesan cahaya lampu kereta dari belakang dan memalapkan cermin
Apabila cermin pandang belakang menjadi malap secara automatik, masalah silau tidak akan berlaku kepada pemandu. Sensor ini boleh dibuat daripada kamera atau diod yang sensitif dengan cahaya. Apabila diod ini mengesan cahaya berlebihan, ia akan menjana arus elektrik, menghantar isyarat kepada pemproses elektronik dan seterusnya arus elektrik ini akan melalui gel elektrokromic
Gel elektrokromic ini berada di antara 2 lapisan kaca cermin pandang belakang. Apabila arus elektrik melalui gel ini, ia akan mengalami proses pengoksidaan menyebabkannya bertukar daripada warna jernih kepada warna lebih gelap. Dengan ini ia akan mengurangkan kuantiti cahaya yang dipantulkan dari arah belakang kereta ke mata pemandu
Apabila ia tidak lagi mengesan cahaya terang dari belakang, ia akan berubah menjadi lebih cerah seperti biasa. Jadi pemandu tidak perlu mengubah sudut pandangan cermin pandangan belakang seperti cermin pandang belakang yang konvensional. Sekiranya anda mahukan cermin ini berfungsi seperti cermin biasa, tekan sahaja butang auto untuk mematikan ciri ini.



