KENAPA ENJIN MODEN TAK PAKAI TURBO TIMER? BUAT HIASAN KAN LAWA…
Turbo timer adalah satu alat yang membenarkan enjin untuk terus dihidupkan dalam satu sela masa selepas kunci atau push start button ditekan bagi mematikan enjin. Apabila enjin kekal hidup, ia akan menggerakkan pam minyak pelincir secara mekanikal, membenarkan minyak enjin untuk terus mengalir kepada unit turbo dan menyejukkan unit turbo dan turbo bearing
Jika dipandu dalam keadaan laju, turbo akan menjadi panas lebih daripada biasa. Mematikan enjin secara mengejut akan menyebabkan minyak pelincir yang mengalir masuk ke dalam unit turbo akan berhenti mengalir. Keadaan ini akan menyebabkan suhu pada unit turbo meningkat naik, memanaskan minyak pelincir yang ada pada turbo, menghasilkan deposit karbon dan merosakkan turbo.
Fungsi turbo timer aadalah mengelakkan masalah ini terjadi dengan membenarkan enjin beroperasi seperti biasa dalam satu sela masa tertentu, membenarkan minyak pelincir terus mengalir dalam turbo, menyingkirkan haba dan melindungi turbo daripada rosak serta memanjangkan jangka hayat turbo
Walaupun tanpa turbo timer anda boleh mematikan sendiri enjin dengan mengambil masa sekitar 30 saat untuk menunggu di dalam kereta, turbo timer juga memudahkan pemandu. Sebagai contoh anda baru sahaja melenjan kereta anda di lebuh raya kerana anda sakit perut dan perlu ke tandas.
Sebaik sahaja sampai di hentian R&R selepas membawa 180km/jam, takkan anda nak terus mematikan enjin bagi melindungi enjin dan turbo anda. Tapi pada masa yang sama perut anda telah memulas sehingga maksimum, 30 saat bagaikan 30 jam rasanya.
Di sinilah kepentingan unit turbo timer ini tadi di mana dalam kebanyakan masa, ia sebenarnya memudahkan pengguna. Tapi jika anda perasan, kebanyakan kereta moden sekarang tidak dipasang dengan turbo timer walaupun ia dipasang dengan turbo OEM daripada kilang.
Keadaan ini mungkin menghairankan anda kenapa kereta moden dengan enjin turbo tidak dipasang dengan turbo timer. Kami senaraikan beberapa sebab kenapa kereta moden tidak disertakan dengan turbo timer. Antaranya ialah:
1. Enjin turbo moden, jimat minyak dan kurang pelepasan gas karbon dioksida – salah satu matlamat enjin turbo moden ialah mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dengan menggunakan enjin bersesaran kecil. Tanpa turbo, enjin sesaran kecil ini tadi akan bermasalah dari segi penghasilan tork pada RPM bawah. Tak power, tak pikap.
Jadi enjin ini akan dipasang dengan turbo bagi menghasilkan tork yang bagus pada RPM bawah, sekiranya pemandu memerlukan tork segera untuk memotong. Tapi jika dipandu dengan berhemah, pada kebanyakan masa sistem turbo ini jarang diaktifkan, menjadikan suhu sistem turbo ini tidaklah panas sangat
Jika anda memandu enjin 1.5 turbo, anggaplah ia sebagai enjin 1.5 biasa dan bukannya enjin prestasi tinggi. Jika anda pantang dicabar oleh Axia, pedal terus ditekan maka anda harus menyejukkan terlebih dahulu enjin dan turbo sebaik sampai ke destinasi.
Jika anda memandu normal, memadai tutup sahaja enjin seperti biasa. Tambahan pula kebanyakan pemandu akan menggunakan enjin turbo moden melalui kawasan bandar yang sesak pada kelajuan rendah dan penggunaan turbo adalah minima.
2. Turbo moden ada tiub penyejukan – turbo mesti disejukkan kerana turbo beroperasi dalam persekitaran yang ekstrim, ia menggunakan gaz ekzos yang terbuang bagi menjana tenaga kinetik dan memampatkan semula udara
Gas ekzos ini adalah panas dan tambah memburukkan keadaan ialah kebanyakan turbo moden berada dekat dengan kebuk pembakaran untuk mengurangkan masalah turbolag. Bagi mengatasi masalah ini ada pembuat turbo seperti Garret telah memasang tiub sejukan cecair di dalam sistem turbo bagi membantu sistem penyejukan
Bagi turbo yang dihasilkan oleh Garret, ia disejukkan oleh minyak enjin dan juga cecair penyejuk untuk memanjangkan jangka hayat enjin serta ketahanan sistem turbo
3. Pam yang menggunakan elektrik – menghidupkan enjin semata-mata untuk mengaktifkan pam adalah membazirkan tenaga dan membebaskan gas karbon ke persekitaran. Enjin BMW N55 menggunakan pam cecair penyejuk yang dikuasakan dengan elektrik bagi memastikan cecair sejuk sentiasa mengalir dalam unit turbo selepas enjin dimatikan
Jadi anda akan terdengar operasi seperti relay dan pam motor elektrik akan hidup secara automatik sekiranya ia mengesan unit turbo masih lagi panas. Kaedah ini lebih efisyen dan lebih mesra alam berbanding dengan turbo timer
4. Minyak enjin yang lebih berkualiti – sekiranya anda perasan, enjin turbo moden memerlukan kuantiti minyak pelincir yang lebih banyak berbanding dengan enjin aspirasi normal. Bayangkan jika enjin aspirasi normal 1000cc, ia hanya memerlukan sekitar 2.7l atau kurang 3 liter untuk sekali servis berbanding dengan enjin 1000cc turbo yang menggunakan sehingga 3.5 liter minyak pelincir.
Malah untuk enjin 1500cc turbo 3 silinder pun memerlukan sehingga 5 liter untuk setiap kali servis. Bayangkan enjin 3 silinder yang ringkas menggunakan minyak pelincir yang banyak, dan pada hemat penulis ia adalah untuk menyejukkan sistem turbo.
Kebanyakan minyak yang dirumus khas untuk kegunaan enjin turbo akan diklasifikasikan dalam kategori API SP serta diberikan penarafan ILSAC GF 6A. API SP adalah minyak terbaru setakat (model lama API SN) yang direka khas untuk memberikan ketahanan pada timing chain, Low Speed Pre-Ignition bagi enjin turbo dan menghalang pembentukan deposit karbon
API SP ini tadi akan menghalang masalah knocking pada RPM enjin yang rendah, menyediakan minyak pelincir yang lebih tahan haba. ISLAC (International Lubricant Specification Advisory Committee) dengan kategori GF-6A pula membekalkan minyak pelincir yang lebih tahan pada kelusuhan haba dan menghalang pembentukan deposit pada sistem turbo
Jika anda lihat pada label minyak enjin terbaru, sebagai contoh yang digunakan oleh Proton S70 ialah API SP dengan ILSAC GF 6A dengan kelikatan 5W-30. Angka 30 ini menunjukkan minyak pelincir ini menawarkan perlindungan lebih baik pada suhu tinggi berbanding dengan angka 20.
Kalau pandu secara agresif setiap hari?
Namun demikian, jika perjalanan anda setiap hari melibatkan perjalanan merentasi lebuh raya yang dipandu dengan laju melebihi halaju kebangsaan serta anda perlu bergegas ke pejabat dengan pantas maka penggunaan turbo timer adalah lebih baik.
Ia juga pilihan yang tepat bagi pemandu yang suka melayan pemanduan di litar atau memandu secara agresif setiap hujung minggu. Secara tepatnya penggunaan turbo timer adalah bergantung kepada cara pemanduan anda seharian.