
KENAPA EV MUDAH KENA TOTAL LOSS? INI PENJELASANNYA
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini terutama dengan galakan daripada kerajaan melalui pelbagai insemtif menarik, pemilikan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia semakin meningkat. Namun disebalik kecanggihan teknologi dan kelebihan pada alam sekitar, ramai pemilik mula berdepan satu realiti yang kurang menyenangkan.
Kereta elektrik mereka diisytihar total loss walaupun hanya mengalami kemalangan ringan. Kenapa situasi ini boleh berlaku?
Berikut ialah lima faktor utama yang menjelaskan mengapa EV lebih mudah diisytihar total loss berbanding kereta enjin biasa:
1. Lokasi & Sensitiviti Bateri
Salah satu perbezaan paling besar antara EV dan kereta biasa ialah kedudukan bateri. Pek bateri voltan tinggi EV biasanya terletak di bawah lantai kenderaan (floor pan). Jadi, jika kenderaan terlanggar divider, terhentak bawah, atau melanggar bonggol besar, walaupun tanpa kesan besar pada bahagian luar kereta tetapi bateri di bawah mungkin mengalami kerosakan dalaman atau retakan struktur.
Kerosakan ini sukar dikesan secara visual, tetapi berpotensi besar menjejaskan keselamatan dan fungsi kereta secara keseluruhan.
2. Kos Ganti Bateri Sangat Tinggi
Bateri EV bukan seperti bateri biasa dan ia boleh menelan belanja antara 30% hingga 50% daripada nilai keseluruhan kenderaan. Sebagai contoh, jika nilai pasaran EV adalah RM150,000, kos bateri sahaja mungkin mencecah RM60,000 atau lebih.
Dalam banyak kes, syarikat insurans lebih rela mengisytiharkan kenderaan sebagai total loss daripada menanggung kos baik pulih yang melampaui nilai pasaran semasa. Keadaan ini dipanggil sebagai Beyond Economic Repaur
3. Sistem Elektronik yang Kompleks
EV beroperasi dengan sistem voltan tinggi (high voltage) yang merangkumi pelbagai sensor, inverter, unit kawalan, dan sistem penyejukan bateri. Kemalangan walaupun kecil boleh mengganggu sambungan komponen elektrik, merosakkan komponen sensitif, atau menyebabkan ralat sistem.
Tambahan pula, kos diagnosis dan pembaikan komponen ini sangat tinggi dan kompleks. Tidak semua bengkel mempunyai kelayakan dan peralatan untuk menyelenggara sistem HV dengan selamat.
4. Isu Keselamatan & Risiko Liabiliti
Selepas kemalangan, walaupun luaran kereta nampak masih elok, sebarang tanda kebocoran voltan tinggi, risiko kebakaran, atau ketidakpastian pada sistem bateri akan menjadi kebimbangan utama.
Syarikat insurans lazimnya tidak mahu mengambil risiko. Risiko kebakaran bateri akibat thermal runaway atau kejutan elektrik kepada juruteknik dan pemilik menjadikan keputusan “total loss” lebih mudah diambil demi keselamatan dan perlindungan liabiliti.
5. Kekurangan Infrastruktur Baik Pulih EV
Ekosistem pembaikan EV di Malaysia masih dalam peringkat awal. Bengkel bertauliah, juruteknik bertauliah sistem bateri, alat ganti khusus, dan SOP keselamatan EV masih belum meluas.
Akibatnya, syarikat insurans tidak mempunyai banyak pilihan rujukan untuk pembaikan. Jika tidak ada pusat servis yang sanggup atau mampu membaiki dengan selamat dan efisien, maka “total loss” menjadi jalan keluar yang paling praktikal.
Teknologi Hebat Datang dengan Kos Tersendiri
EV memang canggih dan mesra alam, tetapi ia juga datang dengan kos penyelenggaraan dan risiko pasca kemalangan yang tinggi. Pemilik sedia ada dan bakal pembeli perlu lebih peka dengan realiti ini termasuklah soal insurans, servis, dan pembaikan agar pemilik tidak terkejut apabila berlaku insiden yang kelihatan kecil, tetapi berakhir dengan kerugian besar.

