Artikel Pilihan

KENAPA KENDERAAN 4X4 MUDAH TERBABAS KETIKA HUJAN?

Memasuki bulan Oktober sehingga bulan Mac tahun depan, Malaysia akan menerima taburan hujan yang banyak terutama pada waktu petang. Pada pendapat penulis, ketika ini adalah waktu terbaik bagi semua pemilik kereta memeriksa keadaan tayar dan juga pengelap cermin depan supaya dalam keadaan yang sangat bagus.

Pengelap cermin yang baik akan memastikan penglihatan anda tidak terjejas manakala tayar yang baik memberikan cengkaman yang bagus ketika jalan basah. Walaupun anda mengambil langkah yang sepatutnya, kemalangan mudah terjadi terutama ketika hujan lebat melanda. Tapi adakah anda perasan yang ketika hujan kenderan 4×4 sebenarnya lebih mudah tergelincir?

Antara faktor-faktor yang menyebabkan kenderaan 4×4 mudah tergelincir ialah:

1. Pacuan belakang – ya kebanyakan masa kenderaan 4×4 ini akan menggunakan pacuan belakang ketika dipandu atas jalan raya. Ciri 4×4 Hi dan 4×4 Low hanya boleh diaktifkan ketika melalui jalan tidak bertar sahaja pada halaju yang rendah.

Ciri 4×4 tidak sama dengan ciri All Wheel Drive (pacuan semua roda) yang menggunakan center differential untuk mengagihkan tork enjin pada semua tayar. 4×4 akan menggunakan “transfer case” bagi mengaktifkan sistem 4×4. Jadi ketika atas jalan raya bertar, kenderaan ini akan menggunakan pacuan belakang sepenuhnya.

Kelemahan sistem pacuan belakang ialah tayar belakang “menolak” kenderaan 4×4 ke depan berbanding kereta biasa yang menggunakan tayar depan yang “menarik” kereta ke depan. Jika anda memecut, tayar pacuan belakang mendapat lebih cengkaman, tapi jika anda membrek tayar belakang akan mula hilang cengkaman

Jika situasi ini berlaku di laluan berselekoh, ia akan terdedah dengan situasi oversteer dimana tayar belakang hilang cengkaman dari jalan dan bahagian belakang kereta bergerak ke arah luar selekoh dan menyebabkan kenderaan 4×4 mudah terbabas

Atas sebab inilah sistem Electronis Stability Control diperkenalkan pada kenderaan 4×4 bagi mengurankan risiko ia terbabas ketika hujan

2. Berat tak sekata – perhatikan betul-betul kenderaan 4×4 secara fizikal, ia akan dibekalkan dengan enjin turbodiesel yang lebih berat daripada enjin petrol. Kebanyakan berat ini akan tertumpu di bahagian depan cesi yang akan menyebabkan keupayaan membelok dan tindakbalas stering menjadi lambat (momen of inersia).

Di bahagian belakang pula, tidak banyak beban yang dikenakan pada tayar belakang. Jika berat kenderaan 4×4 1500kg, mungkin 60% berat tertumpu di bahagian depan dan 40% tertumpu di bahagian belakang. Berat yang kurang di bahagian belakang mengurangkan cengkaman pada tayar belakang yang ditugaskan untuk menggerakkan kenderaan

Kenderaan 4×4 sebenarnya direka untuk membawa beban sehingga 1000kg di bahagian belakang, jadi ketika hujan masalah ini hampir tiada sekiranya ia membawa beban. Tapi jika ia tidak membawa beban, maka tayar belakang mudah tergelincir ketika hujan.

Jadi anda akan faham kenapa kereta sport pacuan roda belakang direka dengan agihan berat hampi sekata antara tayar depan dan belakang kan?

Pusat graviti kereta lebih rendah, lebih stabil

3. Ia lebih tinggi – kenderaan 4×4 direka tinggi supaya memudahkannya melepasi halangan di permukaan jalan yang tidak rata. Namun kelemahan rekaan tinggi ini ialah pusat graviti kenderaan menjadi tinggi dan kurang stabil terutama ketika melalui selekoh.

Jika dipandu laju di selekoh, kenderaan 4×4 mudah terdedah kepada olengan cesi. Jika kenderaan 4×4 mengambil selekoh ke kanan, ia rasa seperti nak terbalik di bahagian kiri dan juga sebaliknya. Sekiranya terlalu laju, olengan atau body roll tadi mampu membuatkan kenderaan 4×4 terbalik di selekoh

4. Tayar – disebabkan saiz tayar kenderaan 4×4 yang besar, maka kos tayar baru adalah mahal dan pemilik seringkali lambat menukar tayar mereka walaupun tayar sudah hampir botak. Cuba cek tayar kenderaan 4×4 HT yang paling murah, termenung juga anda melihat kos tayar.

Tayar yang botak akan mendedahkan kenderaan 4×4 kepada aquaplaning di mana tayar gagal menyingkirkan air pada permukaan jalan yang menghasilkan lapisan filem air antara tayar dan permukaan jalan. Lapisan air ini menyebabkan tayar hilang cengakaman dan tergelincir.

Ok atas sebab 4 faktor inilah anda akan dapati kenapa kenderaan 4×4 mudah tergelincir jika dipandu ketika hujan lebat. Tapi mana-mana kereta pun samaada sedan, kompak mahupun SUV dengan ciri AWD akan mudah mengalami kemalangan ketika hujan lebat

Nak selamat, perlahankan kenderaan anda ketika hujan atau jika keadaan menjadi semakin buruk berhenti seketika di kawasan rehat sehingga hujan reda.

Google ads
Back to top button