Artikel PilihanBuletin

KENAPA KERETA JENAMA JEPUN LASAK DAN LEBIH DIPERCAYAI?

Kereta-kereta buatan Jepun memang cukup terkenal sebagai kereta yang boleh diharap dan jarang mendatangkan masalah kepada pengguna. Mereka boleh dianggap telah mencapai standard tertinggi dalam kepuasan pengguna untuk kereta-kereta buatan mereka.

Kerana itu juga kita boleh lihat kereta jenama Jepun menguasai pasaran komersial hampir di seluruh pelusuk dunia. Ia menjadikan kereta Jepun bernilai tinggi dari sudut jualan balik. Lihat sahaja senarai kereta murah pilihan kami yang berbaloi dibeli. Dimonopoli oleh jenama Jepun.

Seawal tahun 80-an, kereta-kereta Jepun telah dihasilkan tanpa sebarang kecacatan yang mampu menjejaskan penggunaannya sekaligus menewaskan semua saingan dari sudut kebolehpercayaan.

Masih ingat lagi pada era 80-an, kita masih boleh melihat jenama seperti Ford Cortina, Opel Kadett, Fiat 131 dan jenama massa seperti Austin. Namun hari ini produksi Eropah yang bertahan hanyalah segmen premium atau sekali sekala diisi oleh Ford dan Volkswagen.

Datsun-510-klasik-mekanika (11)

BAGAIMANA JEPUN MEMBINA PERSEPSI

Pada peringkat awal, warga Amerika, Eropah dan Asia agak skeptikal dengan kereta-kereta buatan Jepun, tapi tahun demi tahun, pengeluar kenderaan seperti Toyota, Honda dan Nissan telah membina asas yang kukuh di luar Jepun hasil kerjasama dengan rakan niaga yang positif dan penghasilan kereta-kereta yang tahan lama.

Walaupun perbezaan kualiti  antara kenderaan buatan Jepun dan Barat sudah hampir sama tetapi jenama-jenama Jepun masih lagi mendahului pasaran dengan kereta-kereta yang boleh dipercayai. Lihat sahaja Land Cruiser merentas Everest. Kalau hantar jenama mat salleh mungkin tak balik langsung agaknya

Banyak juga mat salleh ni buat kajian mencari keajaiban teknologi automotif Jepun dan antara yang popular ialah kajian Driver Power oleh Auto Express menunjukkan 7 daripada pembuat kereta yang menghasilan model yang boleh diharap dan dipercayai adalah dari syarikat Jepun.

Berdasarkan indek kebolehpercayaan dari senarai Top 100 cars pula menunjukkan hampir 30 peratus kenderaan Jepun berada dalam senarai.

Kenapa jenama-jenama Jepun ini begitu boleh dipercayai? Apa rahsia para jurutera mereka yang tidak mampu ditiru oleh jurutera lain?

TOYOTA COROLLA LE BLACKTOP 20V

INDUSTRI LEPAS PERANG

Selepas Perang Dunia Kedua, kejatuhan ekonomi Jepun membuatkan mereka tidak mampu meniru proses pembuatan kereta secara besar-besaran seperti perusahaan yang diperkenakan oleh Henry Ford. Justeru itu mereka perlu bertindak dengan lebih bijak.

Pengeluar kenderaan seperti Toyota tidak mampu membeli pelbagai mesin untuk membantu proses pengeluaran. Jadi mereka menggunakan mesin acuan yang sama untuk menghasilkan pelbagai komponen kenderaan.

Jauh berbeza dengan pengeluar Amerika dan Eropah yang menggunakan mesin yang berbeza untuk menghasilkan komponen yang berbeza. Ia kelihatan agak janggal tetapi kebaikannya ialah mereka akan lebih berhati-hati dalam penghasilan produk.

Tambahan pula, ruang untuk kesilapan menjadi semakin kecil kerana mereka akan menghentikan operasi jika dapat mengesan kesalahan dan menyelesaikannya sebelum masalah  jadi lebih besar.

Berbeza dengan perusahaan besar-besaran yang mana kecacatan ataupun kekurangan hanya dapat dikesan bila sesebuah kereta siap sepenuhnya.

TOYOTA PRODUCTION SYSTEM (TPS)

Sistem pengeluaran ini dipanggil Toyota Production System (TPS) di mana sistem ini mampu meningkatkan tahap efisien sesebuah fasiliti pembuatan dan seterusnya mengurangkan pembaziran.

Apa yang menariknya, sistem TPS ini diasaskan oleh seorang warga Amerika, W. Edwards Deming yang dihantar ke Jepun untuk membantu membina kembali Jepun selepas peperangan. Beliau percaya perkembangan ekonomi yang mampan boleh dicapai dengan penghasilan produk berkualiti dan bukannya berasaskan kuantiti.

Di Jepun, kilang-kilang pengeluaran dan penghasilan komponen di letakkan berdekatan agar dapat menjimatkan kos operasi dan juga masa. Daripada memasarkan kereta secara besar-besaran, mereka lebih suka memasarkan jumlah yang perlu sahaja sekaligus mengurangkan kos yang tidak perlu ditanggung.

APA YANG MENYEBABKAN KERETA EROPAH BERMASALAH?

Kenapa kereta-kereta Eropah banyak bermasalah? Kajian daripada Consumer Reports menunjukkan kereta-kereta dari Eropah kebanyakannya mengunakan komponen yang kompleks dan moden seperti untuk pembuatan kerangka, sistem pacuan dan alatan elektronik.

Syarikat Jepun seperti Toyota pula masih menghasilkan kenderaan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan dan CVT yang ringkas ke seluruh dunia yang sudah terbukti ketahanannya. Syarikat Eropah pula memilih teknologi klac berkembar yang sangat rumit dan canggih.

Jika anda pernah menyaksikan video ataupun artikel daripada pengacara dan pengkritik permotoran terkenal, Jeremy Clarkson, beliau pernah cuba untuk menjahanamkan sebuah Toyota Hilux dalam satu episod rancangan Top Gear BBC dan terbukti Toyota Hilux bukanlah sebuah kenderaan yang senang dirosakkan.

Dalam satu rancangan lain pula beliau memetik, “Kehebatan Jepun ialah walaupun mereka pernah dihancurkan sewaktu perang dunia terdahulu, mereka masih mampu bangkit kembali dengan mempersembahkan kereta sehebat Nissan GTR kepada dunia”.

Dengan kata lain, syarikat Jepun bersandarkan kepada kata-kata, “Jika sesuatu benda itu tidak rosak, kenapa ia perlu digantikan”. Syarikat Eropah seperti Jerman pula, memilih untuk menggantikan bahagian-bahagian lama dengan teknologi baru yang lebih sofistikated.

BMW PERKENAL PROGRAM SERVIS BAHARU

LEBIH BAIK “OLSKOOL” DARIPADA CANGGIH TAPI ESOK MASUK BENGKEL

Kami dulu pun tertanya-tanya mengapa pengeluar Jepun ni cukup lembap mengikut teknologi. Cuba tengok kereta-kereta Volkswagen, BMW, Audi, Peugeot, Citroen, Ford semuanya dah beralih pada enjin bersesaran kecil+pendesak turbo dan kotak gear dwi klac.

Falsafah ini hampir digunakan oleh semua pengeluar KECUALI dari Jepun. Seingat saya, model terawal yang menggunakan konsep ini ialah Lexus NX200T pada 2015.

Selebihnya, Jepun masih menggunakan variasi enjin Aspirasi Biasa (N/A) 2.4 liter, 2.5 liter dan 3.5 V6. Sedangkan pengeluar lain seperti kumpulan Volkswagen menghasilkan sesaran yang jauh lebih kecil dan lebih berkuasa dari enjin Jepun.

Tapi, kita boleh nampak kesannya sekarang. Kereta-kereta Mat Salleh dengan enjin canggih inilah yang kerap masuk ke pusat servis dan bengkel. Pengeluar Jepun percaya, lebih kompleks pembuatan enjin, maka ia lebih mudah terdedah pada risiko kerosakan.

Jepun belum bersedia sepenuhnya untuk mengalihkan tradisi “olskool”. Ironiknya, pengeluar Eropah juga dalam transisi membuat semula enjin lebih besar seperti sediakala. Enjin kecil dengan sistem pendesak turbo dikatakan mudah memanipulasi data ujian emisi.

Regulasi emisi di Eropah telah diperketatkan dan pengeluar di sana mendakwa adalah mustahil untuk menepati piawaian emisi baru yang membabitkan ujian di lapangan jalanraya sebenar. Tiada lagi ujian dalam makmal!

 

 

Google ads
Back to top button