
MAZDA & TOYOTA BAKAL BANGUNKAN MODEL EV BERSAMA?
Sedia maklum bahawa Mazda memang tidak ada pelan untuk membangunkan kenderaan elektrik (EV) atau hibrid.
Sebaliknya, pengeluar yang berpangkalan di Hiroshima itu membangunkan teknologi enjin pembakaran dalaman (ICE) yang cekap dikenali sebagai teknologi SKYACTIV. Usaha itu nampak berjaya kerana teknologi tersebut adalah setanding atau lebih baik berbanding teknologi EV atau hibrid sedia ada.
Sementara Toyota pula memang terkenal dengan teknologi EV dan hibridnya yang begitu canggih. Maka, apa akan jadi jika kedua-dua pengeluar ini mula berbincang untuk menghasilkan kenderaan EV bersama?
Memetik laporan Automotive News Europe, Toyota dan Mazda kini sedang berbincang tentang potensi kolaborasi. EV dan kereta terhubung (pintar) merupakan sebahagian daripada sekurang-kurangnya sepuluh bidang yang boleh diteroka.
“Ya, Mazda kini sedang berbincang dengan Toyota,” kata Naib Presiden Eksekutif Mazda, Akira Marumoto dalam satu taklimat di Jepun. Marumoto bagaimanapun enggan mendedahkan perincian perbincangan yang sudahpun bermula sejak tahun lalu.
Perbincangan itu didakwa berkisar tentang mengembangkan kerjasama melebihi perkongsian sistem hibrid dan produksi kereta kompak di Mexico.
Kerjasama di antara Toyota dan Mazda dilihat akan meneruskan trend di mana pengeluar kenderaan gergasi di Jepun bergabung melalui cara pemilikan atau pakatan. Sebagai contoh, Toyota membeli baki saham Daihatsu pada awal tahun ini. Selain meneroka peluang kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan Suzuki Motor Corp.
Sementara skandal bahan api membuatkan Nissan membeli saham Mitsubishi Motors bulan lalu.