Artikel Pilihan

KENAPA MAZDA 2 MAHAL? KAMI CUBA CARI JAWAPANNYA

Mazda 2 merupakan model asas yang dijual dengan segala teknologi SkyActiv. Namun dengan harga mencecah RM 103,670 bagi sebuah sedan segmen B dan dikuasakan oleh enjin 1500cc membuatkan kita berfikir kembali adakah ia berbaloi dengan harga yang dibayar. Anda boleh dapatkan 2 kereta sedan jenama tempatan dalam kelas yang sama pada harga tersebut.

Serius kami tak tipu. Jadi kami akan merungkai kenapa Mazda 2 ini menjadi mahal dan apakah teknologi yang ditawarkan pada model terkecil dari Mazda ini

1. Lokasi pemasangan – berbeza dengan Vios, City dan juga Persona yang merupakan produk pemasangan tempatan atau dipasang secara CKD oleh pengeluar, Mazda 2 merupakan unit import dari Thailand dipasang secara siap di Rayong. Cukai untuk produk pasang siap CBU adalah lebih tinggi berbanding dengan CKD

2. Keadaan ini bertambah buruk dengan matawang Ringgit Malaysia yang semakin lemah atau menjadi kecil berbanding dengan matawang negara lain. Keadaan ini menjadikan pengeluar yang bergantung pada import harus menaikkan produk bagi menampung kerugian

3. Enjin yang digunakan oleh Mazda merupakan unit SkyActive 1500cc. Berbeza dengan pengeluar lain unit ini menggunakan nisbah mampatan yang lebih tinggi sehingga 14:1 bagi membolehkan kecekapan mekanikal enjin menjadi tinggi

4. Enjin ini juga menggunakan unit suntikan petrol yang dipasang secara terus di dalam silinder enjin berbanding dengan pesaingnya yang lain yang menggunakan suntikan EFI. EFI akan memancitkan petrol di luar silinder, biasanya dipasang di belakang injap kemasukan. Keadaan ini menghasilkan volunteric efficiency yang lebih baik pada enjin Skyavtiv ini

5. Sistem pemasaan injap VVT milik Mazda juga berupaya mengubah pemasaan enjin. Ya Vios juga dilengkapi dengan sistem dual VVT-i namun enjin Mazda boleh mengubah kitaran enjin daripada Otto kepada Atkinson jika kita memandu dalam keadaan santai. Kitaran Otto boleh menghasilkan kuasa, namun untuk penjimatan bahan api kitaran Atkinson lebih bagus. Enjin Mazda 2 boleh menggunakan mana kitaran enjin mengikut kesesuaian. Enjin ini juga dilengkapi dengan fungsi Start Stop

6. Berbeza dengan pengeluar lain yang menggunakan CVT, hanya Mazda sahaja yang menawarkan transmisi 6 kelajuan automatik untuk pengeluar dari Jepun. Volkswagen Vento menawarkan tranamisi 6 kelajuan auto ataupun 7 kelajuan DSG bagi varian 1.2 TSi. Ini kerana pengeluar lain terpaksa bergantung pada kebijaksanaan sistem CVT bagi penjimatan petrol.

Penulis telah memandu uji kembar crossover Mazda 2 iaitu CX-3 dari Simpang Pulai ke Cameron Highland. Satu lagi pandu uji melibatkan CX-30 dari Grik ke Jeli. Amat mengagumkan kerana transmisi 6 kelajuan SkyActiv Drive ini cukup lincah, sentiasa berada dalan gear yang tepat untuk pecutan meninggalkan BMW E30 di laluan berbukit. Dalam laluan bandar penukaran gear sangat lancar ibarat CVT.

7. Sistem kawalan cesi Mazda 2 pula dibekalkan dengan unit GVC Plus. Sistem GVC yang asal akan mengawal output tork enjin berdasarkan input pada steering untuk mengawal longitudinal force dan lateral force pada tayar. Kesannya ialah ia membuatkan penumpang berasa lebih stabil bila kereta dipandu keluar dari selekoh dengan laju.

GVC Plus pula akan mengawal brek pada satu tayar depan bagi memberikan efek yaw moment. Keadaan ini membolehkan GVC mengawal gerakan yaw, pitch dan body roll pada kereta setiap masa. Walaupun hanya menggunakan suspensi torsion beam, anda tidak akan merasa sebarang perbezaan dari segi kualiti pemanduan

8. Sistem audio Mazda i-Connect pula dipasang persis sebuah kereta continental dengan kawalan pada pemandu dibuat menerusi butang kawalan. Ia memiliki sambungan Android Auto dan juga Apple Car Play

9. Lampu depan datang dengan teknologi LED dengan sistem projektor, cukup terang sehingga anda rasa tak perlukan foglamp

10. Ia juga menawarkan paparan meter Head Up Display yang akan memaparkan bacaan meter menerusi cermin khas seolah olah maklumat tersebut dipaparkan pada cermin utama. Tak perlu nak alihkan mata dari jalan. Ditambah pula dengan kedudukan pemandu yang sangat ideal, memang seronok memandu Mazda 2

11. Tapi Mazda 2 juga datang dengan beberapa kelemahan seperti ruang belakang yang sempit, hanya 2 beg keselamatan udara, tiada sistem amaran titik buta serta kamera 360 darjah

12. Mazda Malaysia juga menawarkan 5 tahun waranti dan 5 tahun service percuma bagi model Mazda 2 termasuk minyak pelincir, kos buruh dan alat ganti

13. Mazda 2 sebenarnya direka untuk memenuhi kepuasan pemanduan dengan tagline Celebrate Driving. Sangat sesuai untuk mereka yang memerlukannya sebagai kereta kedua, memandu berseorangan ke Genting Highland bagi menikmati laluan berselekoh

Google ads
Back to top button