Buletin

MAZDA2 2023 FACELIFT MUNCUL DI THAILAND, ENJIN 1.3L PETROL ATAU 1.5L DIESEL, DARI RM80K

Negara jiran Thailand baru-baru ini telah pun menerima kehadiran model facelift Mazda 2 2023, di mana ia merupakan kemaskini kedua yang dibawakan sejak facelift terakhir pada tahun 2019.

Perubahan yang dibawakan lebih bersifat kosmetik, di mana bahagian depan membawakan jeriji seakan sebuah EV, diikuti dengan kemasan sarang lebah pada bukaan bampar bawah, rekaan rim baharu, serta dua warna baharu (Aero Grey, Airstream Blue).

Sementara model hatchback Mazda 2 pula mendapat dua edisi pakej khas, iaitu Rookie Drive dan Clap Pop yang menampilkan decals, elemen kontras tinggi serta penutup rim berwarna.

Kelengkapan lain termasuklah unit lampu LED, lampu nyalaan siang, sistem kemasukan tanpa kunci, serta rim 15 inci (atau 16 inci untuk model diesel).

Kemaskini di dalam ruang kabin pula adalah bersifat minimum, di mana ia mendapat panel papan pemuka mengikut warna badan.

Sistem infotainmen pula telah dinaiktaraf kepada skrin bersaiz lapan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, namun masih lagi dikuasakan oleh sistem Mazda Connect.

Terdapat dua pilihan enjin, iaitu 1.3 liter Skyactiv-G (93 PS/123 Nm), atau enjin diesel 1.5 liter Skyactiv-D (105 PS/250 Nm), di mana kedua-dua dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Harga jualan Mazda 2 facelift bermula dari 599,000 baht (RM79,850) hinggalah 830,000 baht (RM110,630).

Google ads
Back to top button