Artikel Pilihan

SKYACTIVE DRIVE. TRANSMISI AUTO 6 KELAJUAN BIJAK DARI MAZDA

Pentaksub jenama atau bahasa lembutnya die Hard Fan ada di mana mana. Dari artis sendu, jenama kereta, baju dan juga nasi kerabu. Mereka akan bagi segala data, kronologi, cerita dan cerita tok bomoh bagi menyokong pendapat professional mereka.

Sementara itu dalam dunia automotif, die Hard Fan ini wujud dari zaman Ford Model T lagi.

Ada yang konvensional yang takutkan pembaharuan dan ada juga yang berani mahukan teknologi baru diperkenalkan setiap masa. Kedua duanya ada baik dan buruk dalam industri automotif dan sebagai pemerhati, tugas saya ialah ambil popcorn dan tengok masing masing cuba menjadi hero.

Masing masing akan cuba menjadi hero dengan memberi hujah kenapa gear manual, gear CVT, gear Auto dan DSG mereka adalah yang terbaik. Bagi saya, semua teknologi ada kebaikan dan kelemahan, dan aplikasi yang digunakan mestilah sesuai dengan keadaan

Oh bercakap mengenai hero, hari ini kami nak mengulas tentang teknologi SkyActiv Dalam pembangunan kotak gear automatik yang digunakan oleh Mazda.

Pada hemat kami, Mazda sebagai sebuah syarikat kecil sudah pasti akan memikirkan secara mendalam jenis kotak gear yang diperlukan untuk selari dengan konsep Jinba Ittai.

Tambahan pula model SkyActiv ini akan dipasarkan secara global, jadi kotak gear baru yang dipilih untuk pembangunan kotak gear haruslah memenuhi citarasa penduduk dunia. Mazda tidak mempunyai bajet yang cukup untuk membangunkan pelbagai kotak gear dalam satu-satu masa untuk satu-satu geografi pasaran sahaja.

Sentimen Pasaran

Pengguna di Jepun sangat menyukai kotak gear CVT kerana operasi kotak gear ini sangat lembut pada halaju rendah dan penukaran gear dilakukan secara cekap tanpa ada pembaziran tenaga.

Oleh kerana di Jepun kos bahan api adalah tinggi, maka ia menjadi pilihan utama oleh Honda dan juga Toyota bagi model segmen B dan juga C.

Di negara Kesatuan Eropah, juga kos bahan api adalah tinggi, maka sebelum ini kotak gear manual lebih disukai berbanding kotak gear automatik dengan Torque Converter. Namun beberapa perubahan teknologi terutamanya kehadiran kotak gear DSG yang menggabungkan kecekapan bahan api dan sensasi Sport manual membuatkan pasaran Eropah lebih menghargai teknologi DSG berbanding CVT.

Pasaran Amerika pula telah didominasi dengan kotak gear automatik yang dipadankan dengan Torque Converter semenjak dari 1930an lagi, iaitu sebelum perang dunia Kedua meletus.

Jadi Mazda memutuskan, kotak gear SkyActiv haruslah memenuhi kesemua kehendak pasaran utama dunia.

Mazda memutuskan beberapa objektif semasa membangunkan teknologi SkyActiv Drive. Seperti kotak gear ini mestilah sangat responsif dan “fun to Drive” seperti tagline Jinba Ittai, mengurangkan penggunaan bahan api setanding atau lebih baik dari kotak gear manual, operasi yang lancar ketika di dalam trafik sesak dan kotak gear automatik yang boleh memberikan sensasi seperti kotak gear manual atau DSG.

Kotak gear yang dihasilkan oleh Mazda ialah kotak gear 6 kelajuan yang telah ditambah baik oleh jurutera Mazda bagi memenuhi kesemua bjektif di atas.

Kotak gear automatik dan enjin disambungkan dengan satu mekanisma yang dipanggil Torque Converter. Secara asasnya komponen ini mengandungi 2 bilah propeller atau kipas dan disambungkan melalui cecair hidraulik.

Disebabkan oleh pemindahan tenaga melalui hidraulik, kecekapan mekanikal rendah dan respons sistem adalah lambat berbanding dengan kotak gear manual.

Bagi mengatasi masalah ini, Mazda memperkenalkan mekanisma pengunci atau Lock Up yang akan memberikan respon yang pantas pada sistem. Sistem konvensional menggunakan Lock Up ratio sekitar 50%, tetapi Mazda telah meningkatkan nilai ini kepada 80%.

Di sini lah masalah bermula. Apabila Lock Up ditingkatkan atau dilebarkan kepada 80%, maka wujud isu gegaran dan juga juga bunyi kasar akan wujud.

Bagi mengatasi isu ini, jurutera Mazda sekali lagi mengatasi masalah dengan kebijaksanaan kejuruteraan dengan memasang sistem klac dan juga damper bagi menyerap gegaran semasa operasi dan meningkatkan respons kotak gear. Torque Converter tadi dikecilkan, digandingkan dengan Klac dan damper dalam satu pakej kecil, padat dan ringan. Bijak!

Hasilnya Kotak Gear SkyActiv G berjaya mencapai objektif rekabentuk asal iaitu:
1. Respons yang lebih pantas hasil dari penambahan ratio Lock Up
2. Operasi dan rasa yang sangat pantas seperti kotak gear manual
3. Pecutan yang linear, lembut dan tidak menyentap seperti kotak gear biasa tapi lebih kepada CVT atau akan memberikan sensasi Sport bergantung pada input pedal minyak
4. Penjimatan bahan api 4-7 % lebih baik dari kotak gear biasa dari pesaing.

Hasil dari pemerhatian saya semasa pandu uji Mazda CX-5 minggu lepas mendapati, Teknologi SkyActiv Drive ini benar benar menyerlah semasa pemanduan sebenar, samada memandu secara santai, memecut di laluan berliku, mendaki bukit atau semasa pemanduan berhemah di lebuh raya.

Nantikan ulasan seterusnya berkenaan Mazda CX-5. Sementara itu, anda boleh tonton video di bawah untuk lebih memahami bagaimana kotak gear Mazda ini berfungsi.

Google ads
Back to top button