Artikel Pilihan

MODULAR EV INI MEMPUNYAI HAMPIR 1000NM TORK – BIAR BETUL

HAMPIR 1000NM TORK – BIAR BETUL

Kenderaan EV comel ini dihasilkan oleh sebuah syarikat Jerman yang bernama Electric Brands (tak ada nama lain ke?) dan ianya diberi nama eBussy. Ia bakal dipasarkan tahun hadapan dan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

Bukan itu sahaja, ia juga merupakan model modular sepenuhnya kerana boleh bertukar kegunaan daripada van biasa kepada trak tipper dan juga pikap. Malah dikatakan ia mempunyai 10 gaya badan yang berbeza dan boleh diubahsuai sama ada mahu dipandu di sebelah kanan ataupun sebelah kiri. Leretkan sahaja roda stereng pada papan pemuka. Senang kan?

Ia bukan sesuatu yang mustahil kerana ia menggunakan teknologi drive-by-wire jadi tiada sambungan mekanikal antara roda stereng, pedal-pedal kawalan dan tayar hadapan.

Semua model eBussy bakal dilengkapkan dengan pek bateri 10 kWh yang mampu menggerakkannya sejauh 200 km dengan satu cas penuh. Terdapat juga pilihan bateri 30 kWh yang mampu meningkatkan jarak operasi ke 600 km.

Ia akan dipacu tayar hadapan dengan motor elektrik yang mampu menghasilkan hanya 20 hp kuasa tapi pada masa yang sama tork maksimanya ialah setinggi 1,000Nm! Fuh, silap-silap boleh buat burn out ni.

Kuasa yang kecil bukan satu masalah untuk eBussy yang mempunyai berat keseluruhan sekitar 450 kg dan 600 kg. Tambahan pula ia memang untuk kegunaan di bandar dan bukan untuk balik kampung okey.

Semua eBussy dilengkapkan dengan panel solar di bahagian bumbung dan ia juga menggunakan sistem brake energy recovery. Sambil brek sambil cas bateri. Electric Brands juga sedang dalam usaha untuk mewujudkan jaringan stesen cas semula yang lebih meluas.

eBussy akan dipasarkan dengan harga sekitar USD18,273 (RM77,888.33) dan varian termahal dikatakan berharga USD33,309 (RM142K) yang merupakan varian ‘Offroad Camper’.   

Google ads
Back to top button