![](https://www.mekanika.com.my/wp-content/uploads/2024/12/strap-720x470.jpg)
KENAPA PELUMBA F1 PAKAI STRAPPING TAPE PADA TANGAN DAN JARI?
Dalam mini siri terbaru yang dikeluarkan oleh laman penyiar filem atas talian yang berkisar berkenaan biografi pelumba F1 yang terkenal, salah satu adegan yang kerap ditunjukkan ialah watak Senna seringkali dilihat memakai pita perekat berwarna putih sebelum memakai sarung tangan perlumbaan
Pita pereka tersebut dililit pada bahagian lipatan sendi jari, di atas buku lima dan juga di belakang tangan watak Senna. Dalam filem dokumentari yang bertajuk Senna, penulis tidak pernah nampak Senna membalut tangannya sebelum memakai sarung tangan perlumbaan
Jadi bagi penulis, ia adalah satu perkara yang agak pelik yang dilakukan oleh Senna sebelum memulakan perlumbaan di litar Formula 1. Namun dengan bantuan rakan-rakan atas talian, pita putih tersebut dikenali sebagai strapping tape.
Strapping tape ini dipakai atas beberapa sebab, antaranya ialah:
1. Mengurangkan masalah melecet – walaupun memakai sarung tangan perlumbaan, namun perlumbaan sejauh 300km akan memberikan kesan kepada tangan dan jari yang sentiasa bekerja keras untuk membetulkan kedudukan stering
Bayangkan jika pelumba berlumba di litar Sepang dengan 15 selekoh pada jarak 300km, maka mereka perlu mengambil sekitar 795 selekoh sepanjang perlumbaan. Strapping tape ini akan dipasang pada kedudukan tertentu seperti sekitar ibu jari untuk mengelakkan masalah melecet
2. Beri sokongan tambahan untuk otot dan sendi – sekiranya jari dan ibu jari pelumba pernah tercedera, strapping tape ini akan menguatkan otot untuk beraksi dalam tempoh yang lama. Kawasan yang mudah tercedera ialah ibu jari dan juga pergelangan tangan
Strapping tape ini akan mengurangkan ketidakselesaan, memberikan sokongan tambahan pada otot dan kestabilan sewaktu dalam keadaan tekanan tinggi ketika berlumba
3. Beri cengkaman tambahan – sesetengah pemandu menggunakan strapping tape untuk membantu memberikan cengkaman tambahan pada roda stering daripada tangan sewaktu menggunakan sarung tangan perlumbaan. Aspek ini sangat membantu sekiranya perlumbaan berlangsung dalam cuaca hujan
Dalam siri akhir Senna, belakang tapak tangannya kelihatan mengalami luka yang agak dalam dan berparut. Semakan penulis mendapati jentera William FW16 direka dengan ruang kokpit yang agak kecil, menyebabkan belakang tapak tangan Senna sentiasa bergesel dengan ruang kokpit sewaktu berlumba