Artikel Pilihan

KENAPA WUJUDNYA KERETA ELEKTRIK DENGAN ENJIN @ RANGE EXTENDER?

Mesti ada pembaca yang pelik sebab sesetengah kereta elektrik atau EV dilengkapi dengan satu enjin kecil. Dah la dikuasakan dengan bateri tapi pasang lagi enjin, nampak macam over engineered. BMW i3, Chevrolet Bolt, Fisker Karma dan juga Cadillac ELR adalah beberapa contoh kereta elektrik yang dipasang dengan enjin

Nissan telah mengikuti jejak langkah sama dengan memperkenalkan teknologi Nissan e-Power serta Mazda akan memperkenalkan teknologi hibrid dengan enjin rotari bagi model MX-30. Bagi kereta elektrik biasa, antara kekangan yang dialami oleh pemilik EV ialah jarak perjalanan yang terhad serta masa pengecasan yang lama

Keadaan ini mewujudkan satu masalah yang disebut sebagai “range anxiety” dimana pemandu berasa runsing dengan jarak perjalanan EV mungkin menyebabkan mereka tidak sampai ke destinasi, terkandas di pusat pengecasan dan terlambat untuk sampai ke destinasi.

Satu lagi isu dalam penghasilan EV ialah kos pembuatan, terutamanya kos penghasilan bateri EV yang sememangnya mahal. Semakin besar bateri, jarak perjalanan akan bertambah tapi ia menjadikan EV semakin mahal dan semakin berat. Satu 1kg bateri menghasilkan kuasa yang kurang berbanding dengan 1 liter petrol, buat masa ini.

Jadi bagi menyelesaikan masalah ini, enjin pembakaran dalam diperkenalkan pada EV. Berbeza dengan kereta biasa dengan enjin akan disambungkan pada kotak gear dan seterusnya pada roda, enjin dalam EV hanya berfungsi untuk mengecas bateri sistem sahaja. TIADA sambungan mekanikal dari enjin kepada tayar dibuat

Apabila kuasa bateri jatuh pada tahap tertentu, sistem akan memberi isyarat kepada enjin untuk mengecas bateri sistem secara automatik. Apabila bateri sudah penuh, maka enjin akan dimatikan juga secara automatik. Input dari pemandu langsung tidak akan disambung pada enjin.

Enjin yang dipasang pada EV ini juga kadangkala disebut sebagai Auxiliary Power Unit atau APU yang bertindak sebagai penyelamat bagi membolehkan EV dicaj sementara dipandu dan untuk sampai ke stesen mengecaj atau sampai ke rumah untuk dicaj

Dalam aspek pencemaran juga, enjin yang ada pada EV ini juga sebenarnya lebih bersih daripada enjin biasa yang digunakan. Sebagai contoh kajian kita menggunakan BMW i3s 120Ah. Dengan menggunakan kuasa bateri sahaja, i3s boleh dipandu sejauh 246km sebelum kehabisan kuasa elektrik

BMW i3s dipadankan dengan satu motor elektrik berkuasa 170 kuasa kuda dan 250Nm tork yang memacu gear tunggal sebelum semua kuasa dihantar ke tayar belakang. Ia memerlukan 15 jam masa pengecasan jika dicaj dengan soket biasa, 3 jam masa mengecaj dengan BMW iWallbox atau 45 minit sahaja dengan DC fast charging

Bagi mengelakkan pemandu tersadai akibat kehabisan kuasa elektrik, i3s dengan range extender akan dipasang dengan enjin 2 silinder. Enjin 657cc ini adalah enjin yang sama dipasang pada skuter BMW C650GT. Pada skuter BMW, enjin ini menghasilkan 59 kuasa kuda pada 7500 RPM dan 66Nm tork pada 6000 RPM. Dalam keadaan ini skuter BMW ini hanya melepasi peraturan asap Euro 4 sahaja

Tapi bagi kegunaan i3s, enjin ini telah ditala dengan 34 kuasa kuda pada 3400 RPM dan 55Nm tork pada 4300 RPM bagi melepasi peraturan asap Euro 6. Apa yang berbeza ialah enjin 2 silinder ini akan berfungsi pada satu halaju sahaja berbeza dengan enjin yang digunakan pada skuter

Sebagai contoh, jika jurutera mendapati enjin ini beroperasi dengan sangat efisyen pada 2500 RPM sahaja dengan menggunakan bahan api minima dan melepaskan karbon dioksida secara minima, maka enjin ini akan kekal beroperasi pada 2500 RPM sepanjang tempoh pengecasan berlaku.

Operasi enjin sebagai pengecas bateri sistem tidak tertakluk pada cara pemanduan dan input oleh pemandu. Bagi BMW i3s, ia hanya dilengkapi dengan tangki sebesar 7.2 liter sahaja. BMW mendakwa kadar penggunaan petrol bagi i3s ialah 52.63km bagi setiap liter atau 1.9 liter petrol bagi setiap 100km

Pada hemat kami, model range extender adalah sangat sesuai diperkenalkan di negara ini dimana pusat pengecasan awam masih lagi kurang memuaskan dan sukar didapati di kawasan terpencil. Pemilik hanya perlu caj kereta di rumah, gunakan pemanduan EV sepenuhnya dan jika memandu terlalu jauh dari pusat mengecaj, mereka tidak perlu bimbang akan kemungkinan tersadai di tepi jalan.

Google ads
Back to top button