
JOM CARI KERETA TERPAKAI
Akibat bosan berada di rumah, penulis mula melayari laman sesawang yang menjual kereta terpakai. Bukan nak beli sangat pun, tapi dah bosan tak tahu nak buat apa.
Jadi, penulis senaraikan 10 kereta yang pernah menarik perhatian saya satu ketika dulu. Bukan apa, dulu mahal. Mana tau tengah kekalutan sekarang harga kereta dah jatuh gedebuk.
Lagi pun penulis baru buat bisnes baru, jual topeng muka RM200 sekotak. Dettol RM100 sebotol. Dah kaya teruk ni boleh cari kereta sukan. Laju sikit nak hantar barang.

1. Proton Gen-2 CPS – apa yang Proton buat ialah masukkan enjin Cam Profile Switching atau lebih dikenali Variable Valve Lift atau nama Honda guna ialah VTEC.
Enjin CPS ini menghasilkan 125 kuasa kuda pada 6,500rpm. Apabila dipadankan dengan gear manual memang terasa semangat pemanduan lain macam. Kualiti penukaran gear varian ini boleh dikatakan bagus bagi sebuah kereta kompak
Dengan ruang kargo yang agak besar dan dilengkapi empat pintu, ia merupakan pilihan yang praktikal bagi sebuah keluarga kecil. Jangan lupa suspensi belakangnya dilengkapi dengan multi-link, sama seperti kereta mahal yang lain.
Buat masa ini harga yang ditawarkan berlegar sekitar RM9,800 – RM14,000 bagi varian manual.

2. Honda CR-Z – ya sudah tentu manual menjadi pilihan. Honda memang pakar menghasilkan gear manual. Kualiti penukaran gear yang padat dan padu dengan bunyi mekanikal menyebabkan anda berisiko untuk inzal di dalam kereta.
Ketika dilancarkan, mana ada orang buat kereta manual dengan teknologi hibrid. Terdapat dua pilihan trenkuasa yang ditawarkan, di mana perbezaannya ialah jenis bateri yang digunakan.
Model asal menggunakan bateri nikel metal hidrid dengan 121 kuasa kuda dan 174Nm. Versi naik taraf pula datang dengan versi bateri lithium-ion menghasilkan 130 kuasa kuda dan 190Nm tork.
Sudah cukup untuk anda berseronok dengan cesi seberat 1,200kg sahaja. Versi naik taraf ditawarkan pada harga sekitar RM42,000 untuk transmisi manual.

3. VW Polo GTI Mk5 – lupakan saja VW Polo biasa yang datang dengan enjin 1.2 TSi. GTI menggunakan enjin 1,400cc turbo yang menghasilkan 180 kuasa kuda jantan dan 250Nm tork pada 2,000rpm.
Masih lagi dengan pilihan kereta kompak empat pintu, ia merupakan jentera yang sesuai untuk kegunaan keluarga. Dipadankan dengan transmisi 7 kelajuan DSG, ia memang sebuah pocket rocket.
Satu lagi senjata rahsia Polo GTI, ia dipasang dengan sistem differensial XDS yang mengawal aliran kuasa pada tayar agar Polo GTI tidak mengalami understeer. Harga semasa Polo GTI ialah di antara RM43,000 – RM48,000. Errr… lebih kurang harga Bezza jer.

4. Suzuki Swift Sport – bukan versi lama tapi versi terbaru dengan kod AZG 416. Berbeza dengan Swift biasa dengan enjin 1,400cc, ia menggunakan enjin 1600cc M16A yang suka meraung pada RPM tinggi. Enjin ini menghasilkan 130 kuasa kuda dan 160Nm tork.
Ada 2 pilihan transmisi sama ada CVT ataupun manual, namun memilih CVT untuk kereta sukan ini adalah berdosa besar. Gear manual 6 kelajuan nisbah rapat mampu memacu Swift Sport ke depan yang hanya seberat 1,075kg ini dengan mudah.
Namun sayang varian manual susah untuk dijumpai, saya hanya jumpa unit CVT pada harga sekitar RM58,000 hingga RM62,000.

5. Peugot RCZ – kadang-kala hasil tangan orang Perancis boleh tahan lawa juga seperti RCZ ini. Ketika dijual dulu, varian manual adalah lebih mahal berbanding varian automatik 6 kelajuan.
Kalau saya tidak salah, ia menggunakan enjin 1,600cc Prince yang dihasilkan dengan kerjasama BMW dan dipadankan dengan turbo skrol berkembar.
Hasilnya 200 kuasa kuda dan 275Nm tork pada 1,400rpm dihantar ke gear manual 6 kelajuan. Harga ketika baru pada tahun 2014 ialah RM242,000 bagi manual dan RM237,000 untuk varian automatik.
Tetapi, harga pasaran sekarang ialah sekitar RM 65,000 – RM75,000 bagi varian automatik. Serius lawa kereta ni, memang head turner.

6. VW Scirocco – sebuah hot hatch 2 pintu buatan Volkswagen yang datang dengan enjin 1,400cc. Bagi varian 2014, enjin yang dipasang dengan supercaj dan turbocaj ini menghasilkan 158 kuasa kuda dan 240Nm tork. Semua kuasa disalurkan ke roda depan menerusi transmisi DSG klac kering 7 kelajuan.
Nak beli boleh tapi tuan tuan kena arif berkenaan VW seperti yang kami ulas di SINI. Unit yang baik biasanya dijual pada harga sekitar RM55,000 – RM65,000. Ketika dilancarkan dulu, harga yang ditawarkan adalah sekitar RM190,000.

7. Proton Inspira 1.8 Manual – Ya manual la tuan, kalau kereta macam ni. Harga yang ditawarkan sekarang ialah di antara RM20,000 sehingga RM35,000 bergantung pada tahun dan jarak perbatuan.
Semasa dilancarkan dulu, kelompok pertama banyak menggunakan komponen Jepun. Sebagai contoh, sistem radiator menggunakan vendor Calsonic Kansei.
Anda akan dapat sebuah sedan segmen C empat pintu dengan ruang kargo yang besar. Suspensi belakang menggunakan talaan multi-link dan bahagian depan menerima topang McPherson. Berbanding dengan Lancer, Inspira rasa lebih selesa.
Ia menggunakan enjin 1800cc DOHC MIVEC pada injap kemasukan dan ekzos. Kuasa enjin ialah 140 kuasa kuda dan 177Nm tork yang dipadankan dengan transmisi 5 kelajuan manual.

8. Renault Megane RS 250 Sport Cup – merupakan pencabar terdekat kepada Honda Civic Type-R. Pantang Type-R buat rekod, Megane akan datang untuk pecahkan rekod. Berbulu geng JDM pada Megane.
Harga ketika baru menjangkau RM200,000. Kalau tengok model terbaru boleh menangis. Suspensi belakang hanya menggunakan torsion beam sahaja, namun jurutera Renault memilih untuk menghasilkan cesi yang tegar.
Ia dipasang dengan enjin 2,000cc serta turbo yang menghamburkan 265 kuasa kuda 360Nm tork. Semua kuasa dihantar ke tayar depan menerusi kotak gear 6 kelajuan manual.
Pecutan dari 0-100km/j dalam masa 6 saat sahaja. Dengan harga yang ditawarkan sekitar RM68,000 – RM75,000 kira boleh la nak merasa jentera Renault.

9. Honda Civic Type-R – jentera yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam barisan model Honda. Malaysia merupakan satu-satunya negara luar yang menerima model ini secara rasmi daripada Honda Malaysia.
Nadi yang digunakan ialah K20 iVTEC DOHC yang memberikan kuasa 221 kuasa kuda pada 8,600rpm. Ia merupakan enjin NA terakhir sebelum Honda menggunakan enjin turbo pada model Type-R.
Tukar gear manual 6 kelajuan pada 8,000rpm memang stim wei, kena pulak dengan gear mekanikal Honda. Sampai sekarang rekaan tombol gear manual Honda ni merupakan trade secret.
Honda tak akan bagitau sesiapa pun waima pada SPRM. Harga unit terpakai yang ditawarkan adalah sekitar RM100,000 hingga RM120,000. Jangan guna duit KWSP untuk bayar downpayment ya.

10. Toyota GT 86 – coupe 2 pintu warisan Trueno AE86 memang tak perlu diperkenalkan lagi. Dalam senarai ini, hanya model ini menggunakan enjin boxer 4 silinder 2,000cc NA.
Ia cuma menghasilkan 197 kuasa kuda dan 205Nm yang dihantar ke roda belakang menerusi transmisi manual 6 kelajuan.
Nampak macam tak laju, namun GT 86 dipadankan dengan suspensi double wishbone pada bahagian belakang supaya pemandu belajar mengawal semua kuasa yang ada.
Walaupun hanya ada 2 pintu ia memiliki 4 tempat duduk namun sedikit sempit di bahagian belakang. Ketika baru ia berharga sekitar RM257,000 namun unit terpakai boleh dicari dengan harga sekitar RM145,000 sahaja.
Seperti biasa penulis menasihatkan pembeli supaya membawa bersama mekanik atau pakar terlatih untuk melihat kereta yang bakal dibeli sewaktu memandu uji.