Buletin

KERETA TESLA BOLEH DIGODAM GUNA BLUETOOTH SAHAJA!

Dengan hanya kos sebanyak $100, kemudahan komputer dan teknologi Bluetooth, seseorang mampu menggodam dan membawa lari sebuah Tesla dengan mudah.

Demonstrasi keselamatan tersebut diperlihatkan sendiri oleh firma sekuriti NCC Group dari UK bagi menunjukkan kelemahan yang ada pada sesetengah model Tesla.

Namun menurut prinsipal konsultan sekuriti NCC Group, Sultan Qasim Khan, kerentanan ini tidaklah unik pada sesebuah model atau pengeluar semata-mata.

Beliau menunjukkan penemuannya kepada Bloomberg News di mana sesebuah kereta Tesla boleh dinyahkunci dengan menggunakan dua peranti kecil sebagai medium komunikasi.

Untuk menyahkunci kereta tersebut, Sultan Qasim Khan meletakkan satu geganti dalam radius 14 meter daripada peranti pintar atau kunci, sementara satu lagi peranti disambungkan kepada laptop.

Dengan menggunakan kod yang ditulis sendiri untuk kit Bluetooth, beliau berjaya menyahkunci, masuk ke dalam dan memandu kereta itu dengan senang.

Menariknya, sistem yang dibangunkan itu hanyalah memakan kos $100 sahaja, di mana komponen yang diperlukan mudah didapati menerusi pasaran dalam talian.

Sultan Qasim menjelaskan sistem kemasukan tanpa kunci Tesla bergantung kepada protokol Bluetooth Low Energy (BLE) yang asalnya direka untuk memudahkan urusan memaut pelbagai jenis peranti.

Namun, ia kini mendatangkan masalah besar untuk kebanyakan pihak, di mana penggodam mampu menyahkunci pelbagai jenis teknologi pintar yang wujud pada rumah seperti sistem kunci rumah, kereta, peranti pintar, laptop dan sebagainya.

Malah tambah beliau, cara ini juga boleh digunakan pada kereta-kereta lain yang bukan berjenama Tesla, dan untuk mengatasi masalah ini pengeluar seperti Tesla perlu membuat perubahan perkakasan terhadap sistem kemasukan tanpa kunci tersebut. – Bloomberg News

Google ads
Back to top button