Buletin

BMW 3-SERIES FACELIFT DAPAT KOKPIT BAHARU, MUKA DEPAN LEBIH KEMAS

Salah satu model terpenting bagi BMW telah pun dikemaskini untuk model tahun 2023.

BMW 3-Series facelift ini mendapat beberapa perubahan terutama dari segi penampilan dan yang paling penting ia kini turut mendapat skrin paparan melengkung moden dengan sistem iDrive 8 Operating System.

Dari segi luaran, perubahan yang dibawakan merangkumi rekaan lampu utama yang lebih kemas, diikuti dengan lampu nyalaan siang berbentuk L terbalik, rekaan gril hadapan yang sedikit lebar, diikuti dengan perubahan pada bahagian bampar depan.

Unit lampu belakang masih lagi kekal sama bentuk namun dengan dimensi yang lebih nipis dengan set reflektor menegak dalam perumah berwarna hitam.

Sebagai menyambut ulang tahun ke-50 BMW M, terdapat juga pakej retro BMW Motorsport yang boleh diabadikan pada 3-Series facelift ini.

Perubahan yang paling ketara adalah pada ruang kabin, di mana ia kini menampilkan skrin paparan melengkung yang terdiri daripada skrin 12.3 inci diikuti dengan skrin tengah 14.9 inci dengan sistem operasi iDrive 8, teknologi selular 5G dan menyokong pautan sehingga 10 buah peranti.

Dari segi kuasa, BMW masih lagi mengekalkan penawaran enjin 2.0 liter turbo pada model 330i (255 hp) dan 330e (288 hp), serta enjin enam silinder sebaris 3.0 liter pada model M340i (382 hp).

Kesemua trenkuasa dipadankan dengan sistem transmisi automatik lapan kelajuan, sementara model 330e dan M340i pula boleh dipadankan dengan sistem pacuan semua roda xDrive.

Google ads
Back to top button