Artikel Pilihan

KEROSAKAN SISTEM PITOT STATIC, PUNCA INSIDEN MH2664

Putrajaya – Pihak berkuasa Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah menilai laporan awal keselamatan dan teknikal berkenaan dengan insiden yang telah berlaku pada pesawat Malaysia Airlines MH 2664 dari Kuala Lumpur ke Tawau pada hari Ahda 3 April 2022 yang lepas.

Berdasarkan data yang diperoleh pada Flight Data Recorder (FDR), ia telah dikenalpasti sebagai masalah teknikal berlaku pada pesawat disebabkan kerosakan pada sistem pitot-static, satu sistem dan peralatan khas yang digunakan untuk mengukur perbezaan halaju udara dan juga ketinggian

Kerosakan pada sistem pitot-static telah menyebabkan sistem menghantar isyarat halaju yang salah, menjadikan muncung pesawat naik ke atas dan menyahaktifkan sistem Autopilot. Sebagai tindakbalas pembetulan respon segera, juruterbang perlu mengambil semula kawalan positif pesawat

Langkah penting ini adalah untuk memastikan pesawat masih berada dalam kawalan juruterbang berdasarkan maklumat tepat perkakasan lain yang dipasang pada pesawat. Sewaktu langkah ini dibuat, data keselamatan menunjukkan input pembetulan diberikan secara tiba-tiba daripada juruterbang.

Keadaan ini menyebabkan pesawat kehilangan altitud dan terjunam, selaras dengan laporan awal juruterbang dan apa yang dialami oleh penumpang pesawat. Keadaan ini menjadi bertambah teruk dengan keadaan cuaca yang buruk yang berlaku ketika penerbangan

Walaubagaimanapun CAAM mendapati semua tindakbalas pembetulan kecemasan yang dibuat oleh krew pesawat adalah mengikut prosedur operasi piawai dan mencukupi berdasarkan siasatan CAAM pada laporan awal insiden oleh juruterbang dan bacaan data daripada FDR.

Bagi mengekalkan tahap keselamatan yang tinggi, CAAM juga telah mengeluarkan beberapa saranan kepada Malaysia Arlines Berhad untuk dilaksanakan secepat mungkin:

1. memperkukuhkan program Upset Prevention & Recovery Training (UPRT) bagi menekankan reaksi awal dan masa tindakbalas dalam sesuatu isu, termasuklah operator pesawat komersial lain

2. menghantar Safety Memo tambahan bagi melaksanakan tindak balas awal yang dikemaskini dan melaksanakan kepatuhan pada senarai semak kejadian luar biasa

3. Menilai semula analisis laporan daripada pembuat pesawat iaitu Boeing bagi mencari sebab-sebab kerosakan dan cara mengatasinya di dalam program servis berkala pesawat

4. Melakukan pemeriksaan menyeluruh pada Pitot Static yang merangkumi semua disiplin termasuklah pemeriksaan isu kepanasan dan ujian ketahanan bagi semua siri pesawat Malaysia Aviation Group B737-800 yang digunakan

CAAM juga mengesahkan pesawat yang terlibat dalam insiden telah digantung tugas sehingga selesai menjalani analisa teknikal daripada The Boeing Company. Semua faktor yang menjadi punca insiden telah dikenalpasti dan latihan keselamatan tambahan yang dipertingkat kepada semua krew akan diberikan.

Berdasarkan insiden MH2664 ini, CAAM juga telah meminta langkah keselamatan tambahan dilaksanakan pada semua aspek keselamatan bagi memastikan kepatuhan pada amalan keselamatan terbaik dan mengekalkan keselamatan awam ketika penerbangan

CAAM juga menegaskan sistem pemantauan keselamatan penerbangan Malaysia yang dikawalselia oleh CAAM adalah ketat dan efektif dalam mengurus risiko berdasarkan peraturan International Civil Aviation Organization (ICAO).


Google ads
Back to top button