Buletin

KIA CARENS FACELIFT MASUK PASARAN INDONESIA TAK LAMA LAGI

Kia mengesahkan model Carens versi facelift akan memasuki pasaran Indonesia, seiring dengan penstrukturan semula operasinya di negara itu di bawah entiti baharu, Kia Sales Indonesia.

Pengenalan awal model berkenaan dibuat dalam satu majlis khas di Jakarta baru-baru ini, namun kenderaan yang dipamerkan masih belum mewakili spesifikasi akhir untuk pasaran tempatan. Perincian teknikal penuh juga belum didedahkan secara rasmi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kia Sales Indonesia, Jong Sung Park, berkata kehadiran Carens berwajah baharu itu membawa maksud penting dalam hala tuju syarikat di Indonesia.

“Ini bukan sekadar pertukaran pengurusan jenama, tetapi juga gambaran awal strategi produk Kia pada masa hadapan. Ia mencerminkan komitmen kami untuk berkembang bersama Indonesia secara lebih tersusun dan mampan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kia Sales Indonesia, Bayu Riyanto, memaklumkan bahawa Kia Carens facelift akan dibawa ke pameran Indonesia International Motor Show (IIMS) 2026. Namun, soal harga masih belum dimuktamadkan.

“Buat masa ini, kita tunggu pengumuman rasmi nanti,” katanya ringkas.

Dari segi penampilan, Kia Carens facelift tampil dengan wajah yang jauh lebih moden dan futuristik, mengambil inspirasi daripada SUV elektrik mewah Kia EV9.

Reka bentuk bahagian hadapan menggunakan bahasa rekaan ‘Digital Tiger Face’, lengkap dengan lampu utama LED projektor yang disusun secara menegak.

Di bahagian sisi pula, siluetnya kini lebih bersegi dan tegap. Pendekatan ini bukan sekadar untuk gaya, tetapi turut bertujuan memastikan ruang kabin kekal luas dan selesa untuk penumpang baris kedua dan ketiga.

Di pasaran India, model ini dikenali sebagai Carens Clavis, sebuah kenderaan tiga baris yang diletakkan di antara kategori MPV dan SUV, khusus untuk memenuhi keperluan keluarga moden yang aktif dan ramai ahli.

Sebagai model yang sinonim dengan kabin luas, keselesaan perjalanan dan praktikaliti harian, Carens facelift dijangka mengekalkan kekuatan tersebut sambil diperkasakan dengan imej lebih kontemporari bagi menarik minat keluarga muda di rantau ini.

Jong Sung Park menegaskan pembaharuan ini hanyalah langkah awal dalam perancangan jangka panjang Kia.

“Reka bentuk baharu Carens adalah sebahagian daripada usaha kami membina asas pertumbuhan yang kukuh dan berterusan di pasaran serantau,” katanya.

Dari sudut trenkuasa, laporan antarabangsa menyebut Kia Carens facelift untuk pasaran Asia Tenggara bakal menggunakan enjin petrol 1.5 liter aspirasi semula jadi empat silinder yang menghasilkan kuasa sekitar 115hp dan tork 144Nm, dipadankan dengan transmisi CVT serta pacuan roda hadapan.

Secara global, model ini turut ditawarkan dengan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 160hp dan tork 253Nm, selain versi elektrik sepenuhnya.

Varian elektrik tersebut menggunakan motor hadapan dengan pilihan output 135hp (225Nm) atau 171hp (255Nm), digandingkan dengan bateri 42kWh atau 51.4kWh, yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 490 kilometer mengikut kitaran NEDC.

Pelancaran rasmi di Indonesia dijangka memberi gambaran lebih jelas sama ada varian enjin konvensional atau elektrik akan turut ditawarkan kepada pengguna serantau.

Google ads
Back to top button