Buletin

KIA STINGER FACELIFT 2021. LAMPU LED BAHARU, OPSYEN KEMASAN KABIN IKUT PASARAN

Apabila Kia memperkenalkan Stinger beberapa tahun lalu, ramai yang teruja dan mengakui keupayaan pengeluar kenderaan dari Korea Selatan itu dalam menghasilkan sedan sports berkuasa tinggi.

Biarpun begitu, Stinger tidak mencatat jualan sebagaimana yang diharapkan. Memang betul, ia bukanlah model untuk pengguna massa tetapi jumlah jualan yang kecil meletakkannya dalam kelas produk gagal.

Sehinggakan ada laporan yang mendakwa Kia tidak mahu menghasilkan model Stinger baharu. Nampaknya, dakwaan itu tersasar apabila model facelift Stinger bakal muncul tahun hadapan.

Sekali pandang, sukar untuk mengesan perbezaannya. Pada bahagian hadapan, Stinger dipasang dengan lampu utama LED rekaan baharu yang disepadukan bersama lampu nyalaan siang LED.

Lampu baharu itu sedikit gelap berbanding model sebelum facelift. Sekali gus memberikannya penampilan lebih garang.  

Perubahan paling ketara ialah pada bahagian belakang apabila pasukan pereka bentuk Kia memberikan bar lampu LED sepenuhnya. Sementara lampu isyarat membelok pula terdiri daripada 10 unit lampu LED kecil. Ia disusun secara melintang dan kelihatan seperti checkered flag.

Sedan sports itu juga menerima rim aluminium bersaiz 18 dan 19 inci. Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan peredam ekzos perak dan diffuser belakang yang berinspirasikan kepada prestasi.

Bergantung kepada pasaran, ada dua pakej luaran ditawarkan. Untuk pasaran global, Stinger didatangkan dengan Dark Package yang merangkumi kemasan hitam berkilat pada diffuser dan hujung peredam ekzos. Emblem Stinger pada bahagian belakang juga diwarnakan hitam.

Bagi pasaran Amerika Utara, Dark Package hadir dengan rim 19 inci, spoiler belakang, perumah cermin sisi dan kemasan fender sisi berwarna hitam matte.

Ruang kabin menerima beberapa perubahan. Naik taraf paling signifikan ialah skrin infohibur dan sistem navigasi bersaiz 10.25 inci. Papan pemuka dan konsoltengah hadir dengan jahitan benang berwarna kontras.

Konsol tengah pula diserlahkan menerusi kemasan aluminium atau gayaan gentian karbon. Sistem lampu ambien dengan 64 pilihan warna turut dipasang.

Di pasaran Korea Selatan, Stinger hadir dengan warna dalaman coklat baharu dan pelanggan boleh memilih material yang mereka mahukan seperti kulit Nappa bercorak berlian.

Manakala di pasaran global, kulit Nappa yang ditawarkan adalah berwarna hitam, merah atau beige.   Stinger dijangka dijual di Korea Selatan bermula suku ketiga 2020.

Google ads
Back to top button