Buletin

KIA RIO GEN-4 – RM79,888 SEUNIT, SERVIS PERCUMA 3 KALI UNTUK 50 PELANGGAN PERTAMA

Naza Kia Malaysia hari ini melancarkan model kompak terbaharunya, Rio ke pasaran tempatan.

Sudah memasuki generasi keempat, Rio serba baharu itu ditawarkan pada harga RM79,888 (di atas jalan tidak termasuk insurans). 50 orang pelanggan pertama akan menerima servis percuma sebanyak tiga kali.

Tampil dengan rekaan yang lebih moden dan bercita rasa Eropah, Rio hanya hadir dalam satu varian.

“Kami mensasarkan untuk menjual 100 unit sebulan Rio. Naza Kia juga optimis untuk mencapai sasaran jualan sebanyak 5,100 unit kenderaan Kia pada tahun ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd., Dato’ Samson Anand George.

Rio dikuasakan oleh enjin MPI DOHC dengan D-CVVT bersesaran 1.4 liter. Dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan automatik, ia mampu menjana kuasa sehingga 100PS dan tork 133Nm.

Tipikal sebuah kereta kompak Kia, Rio dilengkapi enam beg udara, cagak ISOFIX, kunci pintu atutomatik berdasarkan kepada kelajuan, sensor belakang, sistem brek ABS, ESC dan HAC.

Rio mengetengahkan rekaan ruang kabin yang praktikal menerusi beberapa ciri menarik. Antaranya ialah sistem pendingin hawa automatik dan tempat duduk belakang boleh dilipat dengan konfigurasi 60/40 untuk ruang bagasi yang luas.

Papan pemuka dipasang dengan skrin LCD bersaiz lima inci dan ketersambungan Buletooth dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, jentera tersebut juga didatangkan dengan ciri kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu utama automatik dan lampu nyalaan siang LED. Anda boleh memilih empat warna menarik untuk Rio iaitu putih, merah, biru dan perak.

GALERI

Google ads
Back to top button