Motosikal

EICMA2024: VOGE 800DS RALLY DEBUT DI ITALI – 94HP, 81NM

Motosikal ‘adventure’ segmen pertengahan antara yang menerima sambutan ketika ini dengan hampir kesemua pengeluar motosikal menawarkan motosikal berkeupayaan ‘off-road’ dari 650cc hingga 900cc. 

Imbas kembali 10 tahun dahulu, segmen ini hanya didominasi motosikal seperti Yamaha Tenere dan KTM 790 Adventure. Permintaan yang meninggi itu juga menyaksikan pengeluar dari China turut berminat menyertai segmen berkenaan. 

Terbaru, Voge telah mendedahkan 800DS Rally di EICMA 2024 yang berlangsung di Milan, Itali, minggu lalu. 

Menariknya, ciri yang ada pada 800DS Rally ini bukan hanya setaraf model dari Jepun dan Eropah malah dari beberapa sudut motosikal ini menawarkan ciri yang lebih baik. 

Pertamanya, Voge 800DS Rally ini dipacu enjin parallel-twin 798cc yang berupaya menjana 94hp dan 81Nm sekaligus lebih berkuasa dari Suzuki V-Strom 800DE dan Yamaha Tenere 700. 

Dalam pada itu, Voge turut menawarkan fork KYB boleh laras sepenuhnya termasuk tayar Pirelli Scorpion Rally STR, ABS, traction control dan steering damper secara standard. 

Tidak cukup dengan itu, 800DS Rally turut datang dengan kelengkapan terkini termasuk skrin TFT yang boleh disambungkan ke telefon pintar, pemanas tempat duduk dan grip serta tangki bahan api berkapasiti 24-liter.

Atas kertas, 800DS Rally ini juga menawarkan ketinggian tempat duduk sekitar 850mm, jarak antara tayar 1,576mm serta jarak kelegaan tanah 220mm. Motosikal ini juga hanya 213kg sekaligus antara yang ringan dalam segmennya. 

Bagi yang mempersoal kredibiliti Voge, perlu diingatkan bahawa mereka ini merupakan jenama premium milik Loncin yang juga mempunyai jalinan kerjasama 20 tahun dengan BMW. Loncin juga bertanggungjawab menghasilkan enjin bagi BMW C 400 X, C 400 GT, BMW F 750 GS, F 900 R, F 900 XR dan terbaru F 900 GS.

GALERI: VOGE 800DS RALLY 2025

Google ads
Back to top button