Buletin

KISAH KETUA JURUTERA CIVIC TYPE R DAN TOYOTA CELICA

Minggu lepas, Tomica yang baharu sahaja menyambut ulang tahun ke-50 telah mengumumkan yang mereka akan bekerjasama dengan beberapa pengeluar kereta dari  Jepun untuk mengeluarkan beberapa buah model edisi khas. Satu daripada pengeluar terlibat ialah Honda yang mengetengahkan Civic Type R FK8.

Pada sidang media terbabit juga, Hideki Kakinuma yang merupakan ketua jurutera Honda berkongsi cerita bagaimana beliau mula meminati kereta buat pertama kali dan cinta pertama beliau rupanya ialah sebuah Toyota Celica Liftback generasi pertama.

Dengarkan pengalaman beliau yang kami petik dari laman web japanesenostalgiccar.com. Sudah tentu beliau menceritakannya dalam bahasa Jepun tapi ni kira versi terjemahan la.

Sewaktu saya masih kecil, saya selalu berhenti di sebuah kedai mainan berhampiran rumah setiap kali pulang dari tadika. Di situlah kali pertama saya melihat sebuah Celica berwarna emas yang berkilauan keluaran Tomica. Saya ke sana hampir setiap hari hanya untuk melihat kereta mainan tersebut dan berharap dapat memilikinya satu hari.

Saya merasa sangat gembira bila ibu membelinya untuk saya dan keesokan harinya dengan bangganya saya membawa Celica tersebut ke sekolah untuk menayangkan kepada kawan-kawan tapi malangnya ia telah hilang pada penghujung hari. Sedih rooo (yang ni kami tambah sendiri).

Sambung balik. Sewaktu menyambung pelajaran di university, saya membuat kerja sambilan dan pada satu masa saya berkunjung ke rumah presiden syarikat yang cukup jauh dari rumah saya. Beliau mempunyai sebuah Celica Liftback yang sama seperti model yang pernah saya miliki. Ia merupakan sebuah kereta yang saya impikan selepas kehilangan model Tomica sewaktu kecil dan bertanya sama ada saya boleh membelinya.

Kemudian saya berjaya memilikinya dan melakukan sedikit proses modifikasi semasa masih di universiti. Fuh rasa macam tulis karangan ujian UPSR pun ada tapi nak feel punya pasal kami kekalkan gaya penceritaan asal Kakinuma san.

Ia memang satu cerita yang menyentuh hati bagaimana sebuah model kereta mainan berjaya memberi impak yang besar dalam kehidupan kita. Ia mungkin hilang dan mungkin juga kekal dalam simpanan kita sehingga dewasa. Bagi Kakinuma san, Celica itu memang memberikan semangat dan ilham kepada beliau sehinggalah beliau berjaya menjadi ketua jurutera salah satu kereta sports terunggul di dunia.

Jadi kalau anak minta dibelikan kereta mainan tu jangan kedekut sangat ataupun tarik muka masam dengan muncung mengalahkan platipus sakit perut.

Kredit sumber dan gambar japanesenostalgiccar.com

Tags
Google ads
Back to top button