Buletin

ZOMATO INDIA BELI UBER EATS RM1.4 BILION KERANA NAMA, BUKANNYA KEUNTUNGAN

Platform penghantaran makanan dalam talian, Zomato dilapor telah membeli operasi Uber Eats di India pada harga AS$350 juta (RM1.4 bilion).

Transaksi penuh yang melibatkan saham itu memberikan Uber sekitar 10 peratus pegangan di  dalam Zomato  yang berpangkalan di Gurgaon. Operasi Uber Eats akan ditamatkan dengan pengguna platformnya akan dialihkan ke aplikasi Zomato. 

Zomato tidak menyerap tenaga kerja Uber Eats. Ini bermakna hampir 100 orang eksekutifnya dipindahkan ke operasi lain Uber atau diberhentikan. 

Proses pembelian yang memakan masa hampir setahun itu menjadi langkah konsolidasi dalam pasaran penghantaran makanan melalui dalam talian yang kini dimonopoli oleh Swiggy dan Zomato. 

Dengan pembelian ini, gabungan Zomato dan Uber Eats India  dijangka menguasai 50 hingga 55 peratus dari segi jumlah dan nilai pesanan. Uber Eats India dikatakan mempunyai pasaran kukuh di wilayah Tamil Nadu, Kerala dan Madhya Pradesh dengan penguasaan 30 peratus.

Pemerolehan Uber Eats disokong oleh proses pengumpulan dana oleh pelabur sedia adanya, Ant Financial (sekutu Alibaba) yang memasukkan pelaburan berjumlah AS150 juta (RM609 juta) pada penilaian AS$3 bilion (RM12.1 bilion). 

Prestasi Uber di India tidak memberangsangkan. Dengan kerugian sekitar AS$20 juta (RM81.3 juta) sebulan, perniagaan di India sememangnya tidak menjadi keutamaan Uber. 

Uber Eats memasuki pasaran penghantaran makanan di India pada tahun 2017 ketika Swiggy dan Zomato sudahpun menguasai rantaian restoran terkenal menerusi kerjasama eksklusif. Jadi, Uber terpaksa memberi diskaun yang banyak untuk menarik dan mengekalkan pelanggannya.    

Uber Eats dilihat lebih popular berbanding Zomato  dan Swiggy. Ramai pengguna menyuarakan kesedihan atas perkembangan ini. Bagi mereka, aspek cukai, antara muka aplikasi dan pengalaman penghantaran Uber Eats adalah jauh lebih baik.   

Google ads
Back to top button