Buletin

KOMUNITI PERODUA SUMBANG RM1.1 JUTA KEPADA TABUNG HARAPAN

Komuniti Perodua, terdiri daripada kumpulan syarikat organisasi serta kakitangannya telah menyumbang RM1.1 juta kepada Tabung Harapan Malaysia sebagai tanda sokongan kepada usaha kerajaan untuk mengurangkan jumlah hutang negara.

Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin menyampaikan sumbangan tersebut kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di pejabatnya baru-baru ini, sambil disaksikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

“Sumbangan ini membuktikan bahawa Perodua dan kakitangannya mahukan Malaysia yang lebih baik. Kami juga berbesar hati menunjukkan tanda sokongan ini,” kata Asmat.

Tabung Harapan dilancarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 30 Mei 2018 untuk membantu kerajaan membayar balik jumlah hutang negara yang melebihi RM1 trilion menurut Kementerian Kewangan.

Pelbagai organisasi, kumpulan dan individu telah menyumbang lebih RM180 juta kepada Tabung Harapan setakat akhir Ogos.

Perodua faham bahawa usaha mengurangkan jumlah hutang negara akan memakan masa yang lama. Justeru, pengeluar itu akan menyokong kerajaan melalui ekosistem automotif negara.

Untuk tahun ini, Perodua telah memperuntukkan RM5 bilion untuk membeli komponen kenderaan daripada para pembekal yang kebanyakannya adalah syarikat tempatan.

Perodua juga mensasarkan jualan kenderaan sebanyak 209,000 unit tahun ini. Secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada pengedar bebas di seluruh negara.

Google ads
Back to top button