Buletin

LAND ROVER DISCOVERY SPORT KINI DILENGKAPI ENJIN PETROL INGENIUM 2.0L – RM379,800

Jaguar Land Rover Malaysia baru-baru ini mengumumkan bahawa model Discovery Sport 2018 kini hadir dengan varian enjin petrol Ingenium bersesaran 2.0 liter.

Enjin turbo yang dipadankan dengan kotak gear automatik 9 kelajuan ZF itu dikatakan mampu menjana kuasa mencecah 240PS dan tork 340Nm.

Rangkaian kuasa itu bukan sahaja membuatkan Discovery Sport lebih berkuasa, malah mampu menawarkan keupayaan untuk menempuh apa jua permukaan jalan, tanpa berkompromi dengan aspek keselesaan.

Penggunaan enjin baharu dikatakan dapat menambah baik aspek pecutan, penggunaan bahan api dan lebih senyap.

Ruang kabin SUV itu direka agar versatil dan menenangkan. Maka tidak hairanlah jika ia menjadi antara model SUV kompak paling mewah yang ada di pasaran sekarang. 

Berkongsi reka bentuk yang sama dengan Range Rover Evoque, bahagian hadapannya menggunakan crossbeam magnesium yang ringan dan kukuh.

Tampil dengan chasis aluminium ringan, ia dapat mengurangkan bunyi bising dan meningkatkan ruang untuk penumpang.

Jika berminat, anda sudah boleh melihat Discovery Sport secara dekat di bilik pameran Land Rover. Harganya ialah RM379,800 seunit (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans).

Harus tahu bahawa semua kenderaan yang diedar oleh pihak JLRM adalah sesuai dengan cuaca persekitaran, kualiti bahan api dan mematuhi piawai emisi yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Ia juga hadir dengan program ‘Land Rover Care’ yang merangkumi jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 150,000km (mana-mana tiba dahulu). Di samping servis untuk lima tahun atau 65,000km dan bantuan tepi jalan selama tiga tahun.

Google ads
Back to top button