Buletin

KURANG 500K TENAGA KERJA, EKOSISTEM AUTOMOTIF NASIONAL BOLEH MUSNAH

Industri pembuatan automotif Malaysia sedang menghadapi isu kekurangan pekerja yang meruncing. Situasi itu dilihat mampu  menjejaskan ekosistem pembuatan automotif nasional (NAM) jika tidak diselesaikan segera.

Presiden Persatuan Penjual Proton, Datuk Dr Wan Mohamed Wan Embong berkata, ekosistem NAM mungkin musnah dengan kehilangan lebih 500,000 pekerjaan dan menghapuskan sehingga 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sekiranya isu tenaga kerja dalam industri ini tidak ditangani segera.

“Malaysia sepatutnya membenarkan pengambilan pekerja asing tanpa berlengah lagi dan mengurangkan kos penentukuran semula bagi kira-kira tiga hingga lima juta pekerja asing tanpa izin untuk menangani kekurangan itu,” katanya.

Beliau berkata, kos semasa untuk pembenaran di sisi undang-undang ke atas seorang pendatang asing tanpa izin adalah RM4,500 dan ia sangat mahal terutama ketika syarikat sedang bergelut untuk pulih daripada pandemik Covid-19, sekatan pergerakan dan banjir baru-baru ini.

Pada masa sama, pengambilan pekerja asing oleh ekosistem pembuatan automotif tidak menghalang penduduk tempatan daripada peluang pekerjaan, katanya.

Wan Mohamed berkata, industri ini sudah melakukan banyak usaha untuk mengambil pekerja daripada kalangan rakyat tempatan, walaupun kebanyakan mereka sering meletakkan jawatan dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas diambil bekerja.

“Kita mesti faham bahawa masalah kekurangan yang teruk menjejaskan pemulihan ekonomi bagi industri automotif, menyebabkan berlakunya henti kerja dan pengeluaran kurang daripada cukup untuk memenuhi permintaan atau kurang daripada jumlah biasa di peringkat pengeluar peralatan tulen.

“Situasi semasa yang dihadapi oleh industri disebabkan vendor tidak mempunyai pekerja yang mencukupi dan mereka tidak dapat menghasilkan alat ganti. Vendor lain turut terjejas, justeru pengeluaran tidak dapat bergerak mengikut sasaran,” katanya.

Keadaan itu menyebabkan ramai pembeli kereta menunggu lebih lama untuk kenderaan mereka selepas pesanan dibuat dengan tempoh menunggu maksimum selama empat bulan. Disebabkan kekurangan pekerja, kos tenaga kerja juga meningkat daripada RM80 sehari pada tahun lepas kepada RM125 sehari sekarang, mengakibatkan pusing ganti atau pembaziran yang lebih tinggi.

Wan Mohamed berkata, selain kekurangan tenaga kerja, ramai vendor turut menghadapi kekurangan modal untuk beroperasi dengan cekap berikutan krisis ekonomi, kesihatan dan persekitaran yang berpanjangan seperti Covid-19, banjir kilat serta susut nilai ringgit terutama sejak setahun lepas.

“Mereka mencatatkan perolehan lebih rendah disebabkan gangguan rantaian bekalan yang berterusan termasuk henti kerja operasi ekoran pandemik dan kekurangan bekalan bahan mentah,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan penyediaan pinjaman mudah berjumlah RM250 juta dengan faedah kurang daripada dua peratus untuk vendor agar mereka dapat terus beroperasi dan menyelamatkan seluruh ekosistem ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pembekal Perodua Musa Zahidin Ahmad Zaidee berkata, industri ini sudah dilengkapi dengan kemudahan latihan untuk pekerja terutama bagi penduduk tempatan, malangnya, ramai daripada mereka berhenti hanya dalam beberapa bulan.

Ini memberi cabaran kerana vendor perlu memberi kemahiran tambahan kepada pekerja dan meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan.

“Kita juga perlu ingat bahawa kos pengambilan pekerja asing tidak murah kerana ia bertambah mahal dengan perbelanjaan penginapan, levi serta permit. Inilah sebabnya mengapa pembenaran pekerja asing tanpa izin di sisi undang-undang adalah penting,” katanya.

Beliau berkata, lebih-lebih lagi industri pembuatan automotif memerlukan 100 peratus operasi untuk membina sebuah kereta yang mempunyai 20,000 hingga 25,000 komponen secara keseluruhan.

“Walaupun jika 0.1 peratus daripada pembekal tidak dapat beroperasi, seluruh barisan pengeluaran yang membabitkan ribuan pekerja tidak akan dapat menyempurnakan kereta berkenaan. Ini adalah isu serius yang kita hadapi sekarang,” katanya. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button