Buletin

KESATUAN AUTOMOTIF JERMAN DAKWA KILANG TESLA DI BERLIN BAYAR PEKERJA CIPUT. 20% KURANG BERBANDING PESAING

IG Metall yang merupakan kesatuan automotif utama Jerman, tidak sabar mewakili para pekerja di kilang baharu Tesla di Berlin.

Kesatuan itu mendakwa para pekerja di kilang berkenaan dibayar sangat kurang berbanding pembuat kenderaan di negara terbabit.

Bercakap kepada German Press Agency, Ketua Kesatuan Daerah di Berlin, Bradenburg dan Saxony, Birgit Dietze berkata kesatuan itu bersedia untuk menjawab persoalan berhubung bayaran, waktu bekerja dan kontrak pekerjaan.

Bahkan, kesatuan berkenaan telah membuka pejabat berdekatan kilang Tesla.

Pemohon pekerjaan di kilang Tesla dilaporkan telah memaklumkan IG Metall bahawa pengeluar kenderaan itu menawarkan gaji 20 peratus di bawah gaji tawar-menawar kolektif yang dibayar pengeluar kenderaan Jerman.

Selain itu, pengeluar kenderaan elektrik (EV) itu turut menawarkan pakej pekerja dengan pilihan saham dan bonus berbanding bayaran percutian tradisional.

Kilang terbabit dijangka menempatkan kira-kira 12,000 pekerja dengan membangunkan 500,000 unit kenderaan tahunan.

Menurut laporan Auto News, terdapat kira-kira 1,800 pekerja telah diambil bekerja menjelang Krismas.

Dietze menambah peringkat pertama pengeluaran kemungkinan akan bermula dengan kira-kira 6,000 pekerja.

Pada masa lalu, Tesla telah berdepan kesatuan-kesatuan malah menentang perancangan United Auto Workers untuk menjadikan kilang Fremont di California, Amerika Syarikat (AS) kesatuan pekerja.

Biarpun, kesatuan masih belum ditubuhkan secara rasmi di kilang Berlin itu, IG Metall bersungguh-sungguh dalam memastikan ia dapat menjadi kenyataan. –carscoops

Google ads
Back to top button