Buletin

LAMAN WEB KERETA TERPAKAI SCAM PEMBELI PULUHAN RIBU RINGGIT. KERJA CLEAN, POLIS PUN PENING

Pembeli kereta terpakai secara atas talian sememangnya berisiko apatah lagi dengan ramai scammer mengambil kesempatan untuk menipu. Baru-baru ini, BBC mendedahkan laman sesawang, Auto-Promotions menipu pelanggan dengan kenderaan yang tidak wujud.

Hampir 3,000 laporan diterima sejak 2021 mengenai penipuan sebegini, menyaksikan peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding tahun 2019. Salah seorang mangsa, Pietro Pagliuca dari West Yorkshire telah melakukan transaksi hampir AS$4,501 (RM21,233) kepada Auto-Promotions untuk membeli Nissan Qashqai.

Nama Auto-Promotions sebenarnya diambil dari sebuah pengedar sah untuk kelihatan meyakinkan. Namun begitu, pemilik asal pengedar sah tersebut tiada kena mengena dengan laman sesawang palsu tersebut meskipun nama syarikat masih berada dalam senarai Companies House, agensi kerajaan yang merekodkan butiran perniagaan.

Pietro

Selepas berbual di telefon dengan seorang pengarah jualan, Pietro memutuskan untuk membuat transaksi tunai. Dia lebih yakin apabila dia melihat cop syarikat pada invois yang dihantar kepadanya.

Setelah sedar ditipu, dia melaporkan kepada bank mengenai transaksi dalam talian itu. Pada awal bulan ini pihak bank telah memberikan separuh daripada wang itu kepadanya.

Persoalannya, siapakah dalang sebenar isu penipuan jual beli ini?

Laman sesawang Auto-Promotions dikatakan aktif dari Mac tahun ini hingga awal September, kemudiannya ditutup berikutan siasatan dijalankan oleh BBC. Namun sehingga ke hari ini dalang disebalik penipuan ini masih bebas.

Auto-Promotions sempat mengiklankan ratusan kenderaan terpakai pada harga murah dengan butiran kereta telah diambil daripada pengedar dalam talian yang sah. Piawaian Perdagangan Kebangsaan menyifatkan laman web itu dibuat begitu terperinci menyukarkan lagi siasatan.  

Selain menggunakan nama bekas pengedar sah, alamat di laman sesawang juga menggunakan alamat garaj sebenar,yang berpangkalan di Fife, Scotland.

Dengan butiran alamat tersebut, ini bermakna segala butiran adalah sepadan dengan bekas pengedar sah Auto-Promotions seperti terdapat pada senarai Companies House. Bahkan, kereta terpakai yang diiklankan mempunyai MOT.

Laman sesawang palsu itu juga memaparkan kewujudan staf syarikat tersebut yang sebenarnya tidak mengetahui imej mereka digunakan sebagai identiti palsu sehingga BBC menghubungi mereka.

Piawaian Perdagangan Kebangsaan berkata, penjenayah sememangnya licik. Mereka mengenal pasti permintaan dan masalah. Dalam kes ini, mereka mengetahui masalah bekalan kereta baharu serta mengenali pasti permintaan tinggi untuk kereta terpakai. Maka, mereka mencari jalan untuk dieksploitasi.

Harry Cairney, pemilik garaj Fife, kesal penipu tersebut menggunakan alamatnya secara palsu. Dia mengatakan bahawa beratus-ratus orang telah menelefon dan datang kepadanya dalam beberapa bulan kebelakangan ini, bertanyakan tentang kenderaan yang diiklankan di laman sesawang syarikat palsu itu.

Malah, bulan lalu, Libin Vidhyadhar, seorang pelajar di Preston, hampir membeli Mini Cooper, yang diiklankan oleh Auto-Promotions dengan harga AS$4,389 (RM20,705). Mike Andrews dari National Trading Standards memberi amaran bahawa tidak bermakna penipuan itu berakhir apabila laman sesawang tersebut ditutup.

Sementara itu, Pietro berkata dia akan mengambil masa lebih setahun untuk menabung untuk membeli kereta lain.

Google ads
Back to top button