
DIDAKWA CURI LEMBU, HONDA ODYSSEY DIBAKAR DI FELDA BUKIT KUANTAN
Tindakan sekumpulan lelaki dipercayai penternak lembu membakar sebuah kenderaan pelbagai guna yang disyaki digunakan untuk mencuri haiwan ternakan mereka mungkin membawa padah.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kes tersebut.
Dia berkata, berdasarkan maklumat awal, insiden tersebut disyaki berlaku di tepi jalan Felda Bukit Kuantan menghala ke Felda Neram 1, Jabor di sini.
“Kita masih menyiasat punca sebenar kenderaan itu dibakar. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
“Kesalahan khianat dengan api itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Dalam pada itu, Hanyan memberitahu, dakwaan kononnya kenderaan pelbagai guna jenis Honda Odyssey digunakan untuk membawa lembu yang dicuri masih belum dapat dipastikan kerana tiada aduan berhubung kes kecurian haiwan itu diterima setakat ini.
Terdahulu, tular video berdurasi 40 saat di media sosial tentang kemarahan sekumpulan lelaki apabila lembu ternakan mereka didakwa dicuri. – KOSMO! ONLINE
- BACA: SUSPEK CURI MOTOSIKAL KENA BAKAR HIDUP-HIDUP
- BACA: TIADA ALAT GANTI, 800K UNIT KERETA MERCEDES HADAPI RISIKO KEBAKARAN
- BACA: KAPAL KONTENA TERBAKAR, 3,965 KERETA TOTAL LOSS. VW GROUP RUGI RM651 JUTA
- BACA: PERODUA KANCIL TERBAKAR DI STESEN MINYAK PETRONAS DISYAKI ADA KAITAN DENGAN AKTIVITI PENYELUDUPAN