LAMBORGHINI REVUELTO HPEV KINI DI MALAYSIA. V12 NA, 3 MOTOR ELEKTRIK, 1,000HP, 0-100KM/J 2.5 SAAT, TOP SPEED 350KM/J!
Automobili Lamborghini hari ini secara rasmi melancarkan model terbaharunya, Revuelto ke pasaran tempatan. Ia merupakan model sempena ulang tahun ke-60 Lamborghini.
Harus tahu bahawa Revuelto merupakan model hibrid pertama Lamborghini yang digelar sebagai High Performance Electrified Vehicle (HPEV).
Pengarah Wilayah Automobili Lamborghini untuk Asia Pasifik, Francesco Scardaoni menyatakan Revuelto ialah sebuah kenderaan revolusioner yang mentakrifkan semula batasan prestasi dan elektrifikasi dalam industri automotif.
“Permintaan terhadap supercar Lamborghini dilihat semakin kukuh di Malaysia. Kami yakin Revuelto yang menetapkan piawaian baharu dari segi prestasi, teknologi dalam kereta dan keseronokan memandu akan dapat menarik perhatian para peminatnya,” jelas Scardaoni.
Jentera berprestasi tinggi itu menggunakan khidmat enjin V12 aspirasi biasa (NA) yang digabungkan dengan tiga unit motor elektrik.
Enjin bersesaran 6.5 liter itu berupaya menjana kuasa sehingga 1,000hp yang membolehkan Revuelto boleh memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 2.5 saat dengan pecutan maksimum 350km/j.
Kuasa tersebut disalurkan ke roda menerusi kotak gear klac berkembar E-DCT 8 kelajuan yang pertama kali digunakan oleh Lamborghini pada sebuah enjin 12 silinder.
Melihat kepada rekaan luaran, Revuelto mengekalkan DNA sebuah Lamborghi yang sarat dengan garis-garis tajam. Cuma, jentera itu menerapkan lebih banyak rekaan bentuk huruf ‘Y’ yang dapat dilihat dengan jelas pada lampu nyalaan siang (DRL) LED, hud hadapan, bahagian sisi dan lampu belakang.
Revuelto menjadi model supersport pertama menggunakan 100 peratus gentian karbon pada bahagian hadapannya. Ia berfungsi memastikan penyerapan tenaga yang lebih tinggi berbanding struktur logam konvensional. Material itu juga adalah dua kali ganda lebih ringan berbanding rangka hadapan aluminium aluminium.
Masuk ke dalam kabin, ruang kaki dan kepala yang ditawarkan oleh Revuelto adalah lebih luas berbanding Aventador. Lebih tepat lagi, ia hadir dengan penambahan ruang kepala sehingga 23mm dan ruang kaki mencecah 84mm.
Terdapat tiga skrin di pada papan pemuka. Pemandu dihidangkan dengan skrin kluster meter bersaiz 12.3 inci, skrin infohibur ‘potrait’ berukuran 8.4 inci dan skrin 9.1 inci untuk penumpang. Skrin kecil itu membolehkan penumpang untuk melihat sendiri informasi seperti kelajuan, takat bahan api dan sebagainya.
Walaupun sebuah supersport, jentera itu masih menawarkan sedikit ruang penyimpanan barang pada bonet hadapan, belakang tempat duduk hadapan dan tempat letak bekas minuman.
Selain boleh memilih apa jua material untuk digunakan pada ruang kabin, pembeli juga boleh memilih daripada 400 warna luaran. Konfem pening nak pilih warna ni.
Setakat ini, harga masih belum diumumkan. Namun, anda boleh memiliki sebuah Revuelto pada harga bermula RM2.5 juta tidak termasuk opsyen, cukai, duti eksais dan insurans.
GALERI