
LANCAR SECARA RASMI DI MALAYSIA MINGGU DEPAN, TAPI SIAPA DENZA NI?
Pengguna di Malaysia nampaknya sudah dapat menerima jenama EV daripada China, BYD dengan begitu positif. Buktinya, lebih 10,000 unit EV BYD berjaya dijual di sini sejak diperkenalkan pada tahun 2022.
Faham tentang selera pelanggan tempatan yang semakin besar terhadap EV, satu lagi jenama di bawah naungan BYD iaitu Denza bakal menemui orang ramai tidak lama lagi, atau lebih tepat lagi minggu hadapan apabila Denza Malaysia dijadual memperkenalkan model MPV Denza D9 secara rasmi ke pasaran Malaysia.
Bagi ramai yang tidak pernah mendengar nama itu, Denza sebenarnya salah satu jenama yang lebih fokus kepada pasaran premium. Segalanya bermula apabila dua syarikat besar iaitu BYD dan Daimler AG (kini Mercedes-Benz Group AG) menandatangani perjanjian kerjasama pada tahun 2010 untuk membangunkan kenderaan elektrik di China.

Ini adalah sebahagian daripada strategi kedua-dua syarikat untuk menghasilkan kenderaan elektrik berteknologi tinggi dan berkualiti premium di China, pasaran automotif terbesar di dunia. Selain berhasrat untuk memenuhi permintaan golongan yang mementingkan teknologi hijau dan mesra alam di sana.
Setahun kemudian, sebuah syarikat usaha sama (joint venture) dengan kepentingan 50:50, Shenzhen BYD Daimler New Technology Co., Ltd. ditubuhkan secara rasmi. Ia dilihat sebagai platform terbaik untuk nenggabungkan kelebihan BYD dalam teknologi bateri dan kenderaan elektrik dengan kepakaran Daimler dalam kejuruteraan automotif dan kualiti premium.
Syarikat yang beribu pejabat di Shenzhen, China itu bertanggungjawab untuk membangun, mengeluar, dan memasarkan kenderaan elektrik di bawah jenama Denza. Pada tahun 2014, Denza melancarkan model pertamanya iaitu Denza EV, sebuah EV mewah yang direka khusus untuk pasaran China.

Sejak itu, Denza terus mengembangkan portfolio produknya dengan melancarkan model-model baharu, termasuk versi Denza EV yang telah dipertingkatkan.
Pada tahun 2021, BYD meningkatkan pegangan sahamnya kepada 90 peratus dan menjadi pemegang saham majoriti. Biarpun China merupakan antara pasaran automotif terbesar di dunia, namun ia tidak memberi kejayaan seperti yang diharapkan oleh kedua-dua belah pihak. Justeru, pada tahun tahun Mercedes-Benz menjual sepenuhnya baki pegangan saham di dalam Denza kepada BYD.
Perubahan ini membawa kepada penjenamaan semula dan strategi baharu untuk Denza, dengan fokus yang lebih besar pada teknologi dan inovasi. Bagi merancakkan jualan, jenama Denza melancarkan model MPV D9, sebelum diikuti oleh model SUV N7,sedan Z9 dan wagon Z9 GT.
Hasilnya, Denza menunjukkan prestasi jualan yang memberangsangkan terutamanya di pasaran domestik China. Pada tahun 2023, Denza berjaya menjual lebih 100,000 unit kenderaan dalam tempoh 10 bulan pertama (Januari–Oktober 2023).
Angka jualan itu terus melonjak kepada lebih 300,000 unit sejak D9 dilancarkan sehinggalah Disember 2024. Sekali gus menjadikan D9 sebagai MPV paling laris di China.

Denza D9 dilapor menjadi antara MPV elektrik terlaris di China, mengatasi pesaing seperti Tesla Model Y dan kereta elektrik premium lain dalam segmen tersebut.
Walaupun fokus utama Denza masih di China, jenama itu dilihat semakin agresif untuk menembusi pasaran luar seperti Eropah, Asia Tenggara, dan Amerika Selatan.
Kejayaan Denza sebagai jenama kenderaan elektrik premium di China boleh dikaitkan dengan beberapa faktor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan pesat dan penerimaan positif dalam pasaran.
Antara faktor penting ialah sokongan teknologi daripada BYD yang sememangnya terkenal sebagai pengeluar EV dan bateri di dunia. Jadi, Denza secara langsung memperoleh manfaat daripada teknologi canggih BYD seperti Blade Battery yang selamat, tahan lama dan berprestasi tinggi.
Bukan itu sahaja, semua EV terkini keluaran Denza dibangunkan di atas platform termaju, ditambah dengan pelbagai ciri yang membuatkan semua jentera keluarannya begitu menonjol di pasaran.

Jenama itu juga bijak apabila melancarkan produk yang memenuhi keperluan pasaran. Misalnya, Denza D9 disasarkan untuk kegunaan keluarga dan perniagaan. SUV elektrik Denza N7 pula menawarkan gabungan prestasi, teknologi, dan reka bentuk premium. Manakala model Z9 dan Z9 GT pula adalah untuk pelanggan muda yang mahukan sebuah jentera penuh gaya serta berkuasa.
Produk yang bagus tidak bermakna tanpa infrastruktur dan sokongan selepas jualan yang mantap. Justeru, sebagai satu jenama di bawah BYD, Denza mempunyai kelebihan dari segi rangkaian yang meluas dari segi pengecasan dan penyelenggaran, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna.
Strategi pemasaran dan penjenamaan yang kuat untuk memposisikan dirinya sebagai jenama kenderaan elektrik premium nyata dapat dilaksanakan dengan berkesan. Dengan pelbagai ciri canggih dan tawaran harga yang kompetitif berbanding jenama Eropah, kenderaan Denza dilihat lebih berbaloi untuk dimiliki.
Jangan bimbang, semua itu boleh sama-sama dirasai oleh pengguna di Malaysia kerana Denza akan melancarkan secara rasmi model pertamanya, D9 ke pasaran tempatan minggu depan. Sudah pasti, kami akan membawakan kemas kini terbaharu tentang model berkenaan sebaik sahaja ia dilancarkan kelak. Tunggu….